Hasil padi musim utama 2022/2023 Pulau Pinang secara pukal tertinggi negara – Exco

Admin
FAHMI Zainol

GEORGE TOWN – Sebanyak 5.224 matrik tan per hektar pengeluaran hasil padi pada musim utama 2022/2023 secara pukal di negeri Pulau Pinang direkodkan sebagai hasil tertinggi dalam negara, sungguhpun meliputi keluasan bertanam 12,105 hektar pada tahun ini.

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata demikian semasa diminta menjelaskan mengenai usaha Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau PInang dalam memastikan keterjaminan makanan untuk rakyat di negeri ini.

“Walaupun kawasan bertanam sepanjang tahun semakin mengecil, Pulau Pinang masih mengekalkan tempat pertama dari segi pengeluaran hasil tahunan secara pukal,” jelasnya dalam Sesi Soal Jawab Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-15 di sini pada 27 November 2023.

Di samping itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak memberitahu bahawa Kerajaan Negeri pada tahun 2022 telah memperuntukkan RM2.631 juta atau RM500 seorang kepada 5,262 pesawah berdaftar bagi meringankan kos serta sara hidup mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut memberitahu bahawa Jabatan Pertanian Negeri pada tahun 2023 telah menerima peruntukan pembangunan negeri sebanyak RM5.72 juta bagi pelaksanaan 14 projek atau program secara langsung kepada kumpulan sasar iaitu petani, usahawan, Industri Asas Tani (IAT) dan belia tani.

Menjawab soalan ADUN Permatang Berangan, Mohd. Sobri Saleh, beliau menyatakan bahawa Jabatan Pertanian Negeri turut berusaha memastikan tiga Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) iaitu TKPM Ara Kuda, TKPM
Mayfield, TKPM Juru dan Taman AgroPertanian DOA-PERDA Ara Kuda terus beroperasi bagi memastikan pengeluaran sayuran dapat memenuhi keperluan penduduk negeri Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR