Hasrat henti perkhidmatan feri, Kerajaan Negeri minta pelan perancangan keseluruhan kerja-kerja naik taraf

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri meminta pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) supaya menangguhkan terlebih dahulu hasrat penghentian perkhidmatan feri selama tiga bulan mulai 1 September 2020 sebagaimana makluman kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum ini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian berasaskan makluman yang diterima daripada Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan (MOT) kepada Setiausaha Kerajaan Negeri pada pertengahan Ogos lalu berhubung perkara tersebut bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja pengubahsuaian sebagai persediaan bagi memuatkan feri-feri baharu yang bakal dikendalikan oleh Penang Port Sdn. Bhd. kelak dan bukannya pengurusan sedia ada, Rapid Ferry Sdn. Bhd..

 

FERI merupakan salah satu mod pengangkutan terpenting di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa hasrat penghentian perkhidmatan feri selama tiga bulan mulai 1 September 2020 adalah bagi memberi laluan terhadap kerja-kerja pengubahsuaian terminal.

 

“Namun, Kerajaan Negeri meminta MOT supaya kemukakan pelan perancangan keseluruhan kerja-kerja naik taraf serta pengoperasian feri-feri baru dibentangkan kepada Kerajaan Negeri terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil memandangkan perkhidmatan feri merupakan salah satu mod pengangkutan awam penting kepada seluruh rakyat negeri ini secara keseluruhan.

 

“Hal ini demikian kerana, Kerajaan Negeri tidak tahu apakah jenis feri yang bakal digunakan sama ada untuk penumpang sahaja atau boleh (mengangkut) kenderaan,’’ ujarnya pada sidang media di Komtar tengah hari ini.

 

Hadir sama, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Ketua Seksyen Pengangkutan, Dato’ Lim Hock Seng.

 

Menjawab soalan pemberita sama ada Kerajaan Negeri akan mengambil alih pengoperasian perkhidmatan feri, Kon Yeow menyatakan bahawa mengikut terma asal penswastaan, pengendalian perkhidmatan mestilah dalam kalangan syarikat berteraskan laba (keuntungan).

 

“Tanpa keuntungan daripada perkhidmatan tersebut pastinya akan memberi beban kepada mana-mana pihak untuk beroleh keuntungan.

 

“(Tambahan pula, pihak pengurusan perkhidmatan feri) dipercayai kini mengalami kekurangan pendapatan dan memerlukan jumlah wang yang banyak untuk mensubsidi perkhidmatan tersebut,” jelasnya sambil berharap insiden perkhidmatan feri tergendala semalam dapat diuruskan secara baik oleh pihak pengurusan.

 

Dalam sidang media sama, Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada Menteri Pengangkutan kerana sudi mengadakan sesi perbincangan bersama-sama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

“Sesi perbincangan tersebut akan diadakan pada hari Khamis ini, 27 Ogos 2020, yang mana saya diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan wakil daripada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) akan hadir.

 

“Kerajaan Negeri akan membawa beberapa isu pengangkutan termasuk isu berkaitan Transit Aliran Ringan (LRT)…supaya suara Kerajaan Negeri dapat diketengahkan nanti dan berharap Menteri boleh mengambil tindakan sewajarnya,” ulasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD