Hasrat OKU tawan Everest, penduduk kampung anjur doa selamat

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyerahkan cek replika RM10,000 kepada Muhammad Hawari Hashim diiringi keluarga, untuk tujuan mempromosi firma-firma subsidari di bawah MAINPP semasa mendaki gunung Everest kelak, di sini tadi.

SUNGAI DUA – Penduduk Kampung Permatang Kerai Besar secara beramai-ramai pada tengah hari tadi menganjurkan majlis doa selamat dan kenduri bagi mengiringi seorang anak jati desa mereka yang bakal menyertai Misi Malaysia Everest 2022 pada bulan Mei depan.

Muhammad Hawari Hashim, orang kurang upaya (OKU) pendengaran dalam ucapan bertulisnya memberitahu bahawa beliau berharap akan menjadi OKU pertama negara yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest, kelak.

“Terima kasih kepada seluruh penduduk kampung dan mereka yang terlibat membantu mengadakan persiapan kami, minta dihalalkan makan minum, hanya kepada Allah kita berserah,” katanya.

Serentak pada masjlis sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal turut menyerahkan cek replika RM10,000 yang disumbangkan secara bersama oleh tiga agensi negeri iaitu Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP).

Itu, tidak termasuk RM2,000 sumbangan peribadi Ahmad Zakiyuddin sendiri kepada Muhammad Hawari.

“Kita harap sumbangan ini akan menyuntik semangat Muhammad Hawari mencapai cita-citanya dan kejayaannya memberi inspirasi kepada anak muda tempatan di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Yang Dipertua MAINPP dalam acara berkaitan di Surau Permatang Kerai Besar di sini pada 20 Mac 2022.

Di samping itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti turut berharap Muhammad Hawari membawa bendera MAINPP untuk dipacakkan atas puncak gunung tertinggi dunia itu.

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Dua, Mohd. Taufek Abd. Rahman turut berucap pada majlis tersebut.

Pada Ogos lepas, Muhammad Hawari berjaya sampai ke Annapurna Base Camp pada ketinggian 4,130 meter (m) dari aras laut.

Selain Muhammad Hawari, 32, difahamkan, pendaki lain ialah Azim Afif Ishak, 33; Ayu Wanirah Naharuddin, 29; bekas pesilat negara, Rina Jordana Adnan, 42; Ahmad Murshid Maktar, 35; Jack Oh Jin Heng, 37; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 54; serta tiga wakil daripada Komando (VAT 69) iaitu Kanang Anak Usin, 42, Pragash Murusgesu, 32 dan Mohammad Hanif Che Ahmad, 28.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR