Pulau Pinang kembali laksana rapat saf solat jemaah mulai 1 April – TKM I

Admin
IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

SUNGAI DUA – Masjid dan surau di seluruh negeri Pulau Pinang dibenar memulakan solat secara berjemaah dalam saf yang boleh dirapatkan tanpa jarak selamat mulai 1 April depan atau pada awal bulan Ramadan.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perhubungan pelaksanaan dan prosedur operasi standard (SOP) terbaru berkaitan pada peringkat Persekutuan dan negeri-negeri.

“Kita (peringkat negeri Pulau Pinang) dah bincang mengenai saranan (SOP) oleh Kerajaan Pusat…cuma kita (pihak berkuasa negeri) nak tentukan tarikh kuat kuasa sahaja kalau tidak pada 1 April, dalam awal bulan Ramadan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal selepas berucap dalam suatu majlis komuniti di Surau Kampung Permatang Kerai Besar di sini pada 20 Mac 2022.

Di samping itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata pihaknya juga akan berusaha menyelaraskan SOP terbaru peringkat Persekutuan dengan garis panduan yang telah dikuatkuasakan pada peringkat negeri.

“Berkenaan majlis berbuka puasa dan ‘moreh’, sebelum ini pun telah dilaksanakan mengikuti kesesuaian (berdasarkan SOP) dengan kapasiti anggota jemaah adalah berdasarkan luas lantai masjid atau surau masing-masing,” jelasnya lagi.

Terdahulu, dalam tempoh pandemik sejak dua tahun lepas, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menetapkan solat jemaah di masjid dan surau dilaksanakan dengan penjarakan fizikal satu meter (m) serta pemakaian pelitup muka demi memutuskan rantaian perebakan COVID-19.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR