Hidupkan Pasar Awam Balik Pulau dengan aktiviti ekonomi setempat – ADUN

Admin

PULAU BETONG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail mahu menghidupkan Pasar Awam Balik Pulau dan kawasan sekitarnya dengan aktiviti ekonomi setempat.

Justeru, satu perbincangan bersama-sama beberapa pihak berkepentingan sedang giat diusahakan bagi membincangkan hal berkaitan.

Menurut Mohd. Tuah, salah satu cadangan yang masih dalam perbincangan adalah memindahkan tapak pasar malam di Simpang Empat berhampiran pasar awam terbabit ekoran aduan umum yang diterima.

“Seperti kita tahu, pasar awam hanya hidup waktu pagi sahaja, apabila petang, ada beberapa kedai sahaja sekitar sini yang buka, jadi kita sedang berusaha untuk hidupkan dengan aktiviti ekonomi setempat.

“Baru-baru ini kita juga terima aduan daripada empat komuniti sekitar Simpang Empat berhubung kesesakan lalu lintas yang teruk berlaku apabila pasar malam berlangsung.

“Aduan ini dibangkitkan oleh komuniti, bukan individu…maka untuk itu kita juga dapatkan pandangan dari Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi pemindahan pasar malam tersebut,” ujar beliau kepada pemberita dalam satu sidang media di Makerspace Balik Pulau pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ahli Majlis bagi MBPP, Tan Chiew Choon dan Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri bagi kawasan Balik Pulau, Gooi Seong Kin.

Mohd Tuah dalam pada itu turut menyambut baik kerja-kerja naik taraf yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan di  Pasar Awam Balik Pulau yang juga disifatkan mampu menghidupkan kawasan tersebut.

Sementara itu, Chiew Choon ketika ditemui memaklumkan bahawa sejumlah 21 projek naik taraf sudah dijalankan dan kini berbaki 16 kerja-kerja lain antaranya menurap semula tar di kawasan sekitar bakal dijalankan dalam masa terdekat.

“Selain itu, pemindahan peniaga-peniaga di jalan utama ke kawasan pasar yang lebih selesa dan selamat juga akan dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, Bakhtiar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf mercu tanda bulatan Balik Pulau di kawasan pekan tersebut.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD