Noor Azuawati, Boon Sheng terima jawatan Ahli Majlis MBSP yang baru

Admin

SEBERANG JAYA – Noor Azuawati Ahmad dan Ooi Boon Sheng hari ini mengangkat sumpah penerimaan jawatan sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Lafaz penerimaan jawatan dibuat di hadapan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Noor Azuawati Ahmad.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Noor Azuawati, yang sebelum ini berkhidmat sebagai pembantu khas kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberitahu bahawa beliau akan memberi tumpuan terhadap usaha memerangi COVID-19.

“Oleh kerana wabak ini masih belum hilang sepenuhnya, saya akan terus berusaha untuk memastikan semua penduduk Seberang Perai khususnya di kawasan Parlimen Permatang Pauh dapat mematuhi tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan sempurna,” katanya.

Ooi Boon Sheng.

Dalam pada itu, Boon Sheng pula berharap agar beliau dapat bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak terutamanya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk.

“Saya akan mengunjungi semua daerah untuk bertemu dengan pemimpin MPKK mengetahui lebih lanjut mengenai masalah setempat sebelum dapat merangka strategi bagi membantu penduduk secara lebih berkesan,” jelasnya yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana dekat Universiti Sains Malaysia (USM).

Terdahulu, Jagdeep dalam ucapatama mengingatkan bahawa peranan paling penting setiap Ahli Majlis adalah untuk menyokong polisi yang dirangka oleh Kerajaan Negeri.

Barisan Ahli Majlis MBSP bergambar kenang-kenangan bersma-sama jagdeep Singh Deo dan Sr. Rozali Mohamud.

“Oleh itu, apa juga yang dilakukan oleh Ahli Majlis mestilah untuk menjayakan misi, visi, hasrat dan objektif Kerajaan Negeri.

“Pada masa ini tumpuan utama Kerajaan Negeri adalah untuk menangani penularan pandemik COVID-19 selain aspek keselamatan dan kesihatan awam.

“(Dan) adalah menjadi keutamaan bagi Ahli Majlis untuk memastikan rakyat di negeri ini mematuhi semua SOP yang ditetapkan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Rozali dalam ucapannya memaklumkan bahawa MBSP kini sedang merangka rancangan khas bagi membantu penduduk Seberang Perai yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Terdapat segelintir penduduk Seberang Perai kini tidak memiliki pendapatan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu dan menyebabkan mereka berdepan masalah kewangan.

“Oleh itu, MBSP sedang memberi penekanan terhadap ekonomi kitaran (circular economy) untuk meningkatkan ekonomi keluarga sama ada di desa mahupun di kota.

“Suatu ‘road map’ ke arah ekonomi kitaran sedang disediakan dan dijangka akan dilancarkan pada Disember 2020,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS