Hijrah ke P. Pinang kerana peluang pekerjaan – KM

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Peluang pekerjaan menarik ditawarkan di negeri ini menjadi galakan aliran imigrasi rakyat dari negeri Sabah dan Sarawak ke Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, bilangan rakyat Sabah dan Sarawak yang berhijrah ke Pulau Pinang mencecah sehingga 30,000 orang.

Hal ini membuktikan bahawa Pulau Pinang menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang menarik dalam pelbagai sektor termasuk bidang (sektor) industri, kejururawatan, pendidikan dan lain-lain.

“Kita (Pulau Pinang) faham kebanyakan mereka berhijrah ke Pulau Pinang kerana tidak mempunyai peluang pekerjaan sedemikian di negeri asal mereka.

“Dan ini menimbulkan tanda tanya, bagaimana sebuah negeri yang paling kaya di Malaysia dengan pelbagai sumber asli seperti tanah, kayu balak, minyak dan gas, tapi masih gagal menyediakan peluang pekerjaan.

“Sedangkan di Pulau Pinang, tiada sumber asli, hanya bergantung kepada sektor perindustrian dan perkhidmatan, namun, masih mampu menyediakan peluang pekerjaan yang menarik,” ucapnya pada Sambutan Pesta Gawai dan Kaamatan 2016 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Fort Cornwallis di sini baru-baru ini.

Turut sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai.

Guan Eng dalam pada itu dengan nada berseloroh menyatakan bahawa di Sabah dan Sarawak, mempunyai masalah ‘buaya dua kaki’.

“Sekiranya hanya ada buaya empat kaki, tidak mendatangkan masalah, tetapi ini berkaki dua sangat bahaya.

“Kalau di Pulau Pinang, kita boleh berasa bangga kerana kita sudah menangkap semua ‘buaya dua kaki’, sebab itu kita (Kerajaan Negeri) dapat menjalankan pentadbiran secara Cekap, Akauntabiliti dan Telus, CAT,” ujarnya yang percaya sekiranya kerajaan Sabah dan Sarawak mengamalkan pentadbiran yang bersih, cekap dan akauntabel, mereka juga boleh menikmati kemajuan yang jauh lebih hebat dari Pulau Pinang.

Sambutan Pesta Gawai dan Kaamatan 2016 Peringkat Negeri merupakan perayaan tahunan terbesar di luar Sabah dan Sarawak yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2014.

Ia turut mendapat sambutan daripada komuniti Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di Pulau Pinang termasuk gereja-gereja setempat.