Muhamad Suhaili olahragawan paralimpik negeri 2015

Admin

GEORGE TOWN – Muhamad Suhaili Abd. Hamid yang memenangi beberapa kejohanan boling peringkat dalam dan luar negara pada tahun lepas, melayakkan beliau dipilih menerima Anugerah Olahragawan Paralimpik Sukan Negeri Pulau Pinang 2015.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mokhtar Mohd. Jait hadir menyampaikan anugerah kepada wakil Muhamad Suhaili, pada majlis anjuran Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

Muhamad Suhaili yang mempunyai kekurangan dari segi penglihatan berkata, pemberian anugerah oleh pemimpin Kerajaan Negeri membakar semangatnya untuk terus memburu kejuaraan pada masa hadapan.

“Pertama sekali, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada MSNPP yang sudi mengangkat martabat sukan paralimpik saban tahun.

“Anugerah seperti ini akan menjadikan saya bersemangat untuk terus mengharumkan nama negara apabila bertanding kelak,” ujar beliau ketika dihubungi Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff merupakan tetamu kenamaan utama pada majlis tersebut.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus, Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Frederick Tan Teck An (Pengarah MSNPP).

Muhamad Suhaili menambah, perjuangan beliau dalam sukan paralimpik boling tidak terhad di sini semata-mata, bahkan beliau mahu melihat sukan tersebut dipertandingkan di peringkat olimpik suatu hari nanti.

“Peringkat tertinggi sebelum ini yang saya menang adalah Kejohanan Persatuan Sukan Orang Buta (IBSA) Dunia di Australia pada tahun 2007, jadi kalau boleh hendak juga tengok sukan boling atau saya sendiri dapat berentap pada kejohanan bertaraf Olimpik (Paralimpik),” ujarnya.

Kini, Muhamad Suhaili giat mempersiapkan diri untuk ke satu kejohanan peringkat antarabangsa di Filipina tahun hadapan selain dari Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Menceritakan berkenaan minat terhadap sukan boling, beliau menyatakan bahawa sukan tersebut dimainkan beliau pada mulanya atas dasar suka-suka sebelum menyedari dirinya mempunyai bakat sambil didorong oleh isteri serta lima anaknya.

Kali pertama Muhamad Suhaili dipilih menerima Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang adalah pada tahun 2014.