Hike @ Youth Park promosi gaya hidup sihat

Admin

GEORGE TOWN – Program Hike @ Youth Park yang dianjurkan baru-baru ini bertempat di Moongate Panggung Terbuka Taman Bandaraya bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan warga negeri.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sentiasa memberikan sokongan dalam penganjuran aktiviti melibatkan sukan dalam usahanya mendorong masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

Pelepasan para peserta disempurnakan Datuk Bandarnya, Dato’ Ar. Yew Tung Seang tepat jam 7.30 pagi.

Program berkenaan ternyata mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan warga belia, dewasa dan kakitangan Majlis, malah 60 orang daripadanya merupakan peserta cilik, kanak-kanak.

Hike @ Youth Park merupakan program kerjasama di antara MBPP dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Warga Bumi Hijau, Taiji dan Kumpulan Zumba.

Selain senaman dan persembahan zumba, para peserta turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah istimewa yang disediakan pihak penganjur.