Hon Wai akan bawa isu penaiktarafan kuarters FRU, Padang Tembak ke sidang Parlimen

KEBUN BUNGA – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai berjanji akan membawa isu penaiktarafan kuarters anggota Unit 3 Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dekat Padang Tembak ke sidang Parlimen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, melalui maklum balas yang diterima daripada FRU dan tinjauan yang dilakukan pihaknya, kawasan seluas 22 hektar tersebut sememangnya memerlukan perhatian khusus demi keselesaan kira-kira 305 orang penghuni di situ.

Sebelum ini kita (Kerajaan Pakatan Harapan) tidak ada peluang untuk membantu namun sekarang Kerajaan Negeri dan Persekutuan sudah sama dan kita boleh tawarkan diri untuk lakukan sesuatu untuk kuarters di sini agar ditambah baik.

Ini juga sebagai tindakan menghargai peranan FRU dalam menjaga ketenteraman awam, dan isu ini akan dibawa ke Parlimen untuk perhatian KDN,” ujar beliau pada sidang media sejurus melawat dua blok kuarters di sini pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee dan Pemangku Pegawai Pemerintah Unit 3, Deputi Supritenden Shi Tian Aik.

Dalam pada itu, Khan Lee ketika berucap menyatakan, pengabaian bertahun-tahun oleh kerajaan terdahulu telah menyebabkan kemudahan-kemudahan tertentu di situ perlu dipertingkatkan atau diganti dengan kadar segera.

Selepas melawat ke Pengkalan Unit 3 (di sini) saya melihat keperluan untuk Kerajaan Negeri mahupun Pusat memperuntukkan dana memperbaiki serta mempertingkatkan pelbagai kemudahan asas disini,” tegas Khan Lee.

Menurut Tian Aik, pentadbiran kerajaan (pusat) terdahulu pernah mencadangkan agar lokasi kuarters sedia ada dipindahkan ke kawasan lain, namun tindakan lanjut bergantung kepada keputusan kerajaan baharu kini.

Kos untuk membaiki keseluruhan kuarters dianggarkan kira-kira RM6.59 juta, antara masalah disini adalah kebocoran unit perumahan, lopak jalan, kerosakan pam air dan lain-lain lagi.

Dari lebih 200 unit rumah yang ada cuma 180 unit sahaja boleh diduduki, selebihnya (20 unit) telah rosak dan tidak diselenggara,” ujarnya lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: LAW SUUN TING