Hon Wai letak jawatan PAC

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI 

PADANG KOTA – Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai menyerahkan surat perletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi  Kira-kira Kerajaan Negeri (PAC) kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Law Choo Kiang di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, perletakan jawatan yang berkuatkuasa 17 Mac lalu adalah ekoran lantikan Hon Wai sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri baru-baru ini menggantikan Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik.

Menurut Hon Wai, walaupun Peraturan 109A (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat DUN Pulau Pinang hanya tidak membenarkan ahli Exco menjadi Pengerusi atau Ahli PAC, beliau sendiri merasakan bahawa jawatan baru sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri adalah tidak ‘bersesuaian’ untuk menjawat jawatan berkenaan.

“Ini adalah berdasarkan pada pandangan saya berhubung aspek kapasiti kuasa bahawa adalah tidak bersesuaian bagi seseorang Setiausaha Politik Ketua Menteri manjawat jawatan dalam PAC,” ujarnya selepas menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Pengerusi PAC kepada Choo Kiang di sini baru-baru ini.

Hadir menerima surat perletakan jawatan berkenaan adalah Choo Kiang sendiri.

Mengulas lanjut, Hon Wai menyatakan bahawa bagi tempoh lapan bulan menyandang jawatan sebagai Pengerusi PAC, terdapat empat mesyuarat telah diadakan.

“Antara fokus mesyuarat-mesyuarat tersebut adalah masalah dan ketidaksempurnaan sistem e-tanah, rekod pendaftaran perumahan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) serta Rekod Bantuan Kebajikan Jabatan kebajikan,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Choo Kiang menyatakan bahawa beliau menerima perletakan jawatan Hon Wai dengan terbuka.

“Lantikan baru saya jangkakan akan berlangsung pada Mei ini iaitu ketika sidang DUN Penggal Pertama,” nyata beliau.