Peguam Negara mesti tegas tegak undang-undang – KM

Admin

GEORGE TOWN – Peguam Negara mesti tegas dalam menegakkan undang-undang dan bertindak ke atas perbuatan samseng tanpa kira kedudukan demi menjaminkan ketenteraman awam, harmoni kaum dan agama di Pulau Pinang.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berikutan jawapan bertulis pada 25 Mac lalu oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen bahawa kertas siasatan polis berkaitan peristiwa-peristiwa berkaitan dilaporkan sebelum ini telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya.

“Sekiranya mereka yang terlibat, termasuk pemimpin UMNO, dilepaskan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan dijalankan, maka ia akan menggalakkan lebih banyak peristiwa yang tidak diingini sedemikian oleh kumpulan samseng ini untuk terus menggugat keselamatan negara,’’ tegasnya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Berikut adalah soalan Parlimen Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada Ahmad Zahid : –

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI JAWAB LISAN DEWAN RAKYAT

SOALAN:
TUAN Lim Guan Eng (Bagan) minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan hasil siasatan polis terhadap peristiwa ganas yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama pada bulan Januari 2014 dengan 2 demonstrasi yang melibatkan pemimpim UMNO di Seberang Jaya dan Machang Bubok, pengeboman sebuah gereja berikutan 3 sepanduk digantung di luar 3 buah gereja Katolik di George Town.

JAWAPAN3:
Tuan Yang di Pertua,

Siasatan telah dibuat berhubung dengan bantahan yang dianjurkan oleh UMNO Pulau Pinang berkaitan dengan gambar dalam Twitter milik lelaki bernama Lee Khai Loon yang memasukkan kangkung ke dalam mulut replika Perdana Menteri. Himpunan yang dihadiri lebin kurang 1,000 orang terdiri daripada ahli dan pemimpin UMNO, NGO, Perkasa dan penduduk setempat. Terdapat kain rentang yang tertulis “kerana mulut pemimpin DAP, 13 Mei 1969 terjadi.. mau lagi kaa”. Kertas siasatan telah dibuka berkait Seberang Jaya Repot 454/2014, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwaraya pada 25 Februari 2014 untuk nasihat dan pandangan.

Bantahan kedua yang dibuat di Machang Bubok, Bukit Mertajam terdiri daripada ahli dan pemimpin UMNO, NGO Perkida dan penduduk setempat membantah perkara yang sama. Kertas sisatan telah dibuka berkait Bukit Mertajam Repot 734/2014, Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman. Kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwaraya pada 17 Februari 2014 untuk nasihat dan pandangan.

Berhubung dengan kejadian serangan molotov cocktail terhadap The Church of the Assumption, Lebuh Farquhar Pulau Pinang, laporan polis telah dibuat berkait Central Repot 854/2014, disiasat di bawah Sejsyen 436 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan. Kejadian berlaku pada jam 1.30 pagi semasa pengadu seorang pengawal keselamatan penyedari terdengar bunyi kaca pecah dan berlaku nyalaan api di pintu gereja.

Siasatan telah dibuat oleh pihak forensik mendapati ianya merupakan sejenis molotov cocktail. Tidak ada saksi dan cctv yang berdekatan bagi membantu siasatan.

Setakat ini tidak ada tangkapan dan petunjuk bagi membantu siasatan.

Kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwaraya pada 27 Februari 2014.

Terdapat tiga kertas siasatan telah dibuka berhubung dengan permasangan kain rentang mengenai penggunaan kelimah Allah di tiga buah gereja. Ketiga tiga kes berkenaan merupakan kes yang sama dan kain rentang yang sama iaitu bertulis “ALLAH IS GREAT. JESUS IS THE SON OF ALLAH” dan berlatarbelakangkan wajah Jesus dan Salib. Siasatan telah dijalankan di tempat kejadian mendapati dan juga petunjuk yang diperolehi memandangkan kejadian di awal pagi dan tidak ada rakaman CCTV yang dapat membantu siasatan. Kertas Sisatan telah lengkap dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk nasihat dan pandangan selanjutnya.