Hong Kong Express ulang-alik setiap hari ke Pulau Pinang

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN LEPAS – Kadar kemasukan pelancong ke negeri ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas Pulau Pinang (LTABPP) disasarkan meningkat kepada 15 peratus pada tahun hadapan.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, kadar tersebut dijangka meningkat berdasarkan pengoperasian syarikat penerbangan tambang murah, Hong Kong Express buat julung kalinya ke Pulau Pinang mulai 14 November lalu.

“Tahun ini, Pulau Pinang berada di tempat ketiga dengan kadar peratusan sebanyak 13.7 iaitu di belakang Kota Kinabalu, Sabah dan Kuala Lumpur.

“Maka, dengan penerbangan setiap hari oleh Hong Kong Express ke sini, ia dijangka bakal menaikkan kadar kemasukan kepada 15 peratus,’’ ujarnya pada Majlis Sambutan Ketibaan Pesawat Pertama Oleh Hong Kong Express Ke Pulau Pinang baru-baru ini di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Kong Express, Andrew Cowen dan Pengurus Besar Kanan Operasi Khas Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB), Datuk Azmi Murad.

Menurut Cowen, Pulau Pinang adalah destinasi kelapan dalam pengoperasian baru Hong Kong Express dari jumlah 13 lokasi tersenarai setakat ini.

“Bagaimanapun Pulau Pinang adalah destinasi pertama yang mempunyai jadual penerbangan setiap hari.

“Saya juga meletakkan sasaran sebanyak 50,000 penumpang akan menggunakan perkhidmatan Hong Kong Express dalam tempoh setahun untuk ke Pulau Pinang.

“Ini akan membantu Kerajaan Negeri meningkatkan kadar kemasukan 15 peratus yang dinyatakan tadi,” ujarnya.

Tambah Cowen, bertepatan dengan status penerbangan tambang murah, pihaknya mensasarkan pelancong yang pertama kali ingin mengunjungi Hong Kong.

“Mengenai pelan jangka pendek, kami menyasarkan untuk menambah laluan sedia ada kepada 25 laluan selain membeli enam pesawat Airbus A320 pada tahun hadapan,’’ jelas beliau.