Program Muhibbah Sg. Bakau ketepi ideologi politik

O l e h : AHMAD ADIL MUHAMAD

SUNGAI ACHEH – Majlis Perasmian Hari Ikhtifal Sekolah Agama Rakyat al – Falah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid dan Hal Ehwal Qariah Pulau Pinang, Rosidi Hussain di sini baru-baru ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap pembelajaran berteraskan agama di negeri ini.

Rosidi dalam ucapan perasmiannya berkata, Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sentiasa mengambil berat mengenai sekolah-sekolah agama dengan memberikan pelbagai bantuan dan sumbangan.

“Keprihatinan Kerajaan Negeri dapat dilihat dengan jumlah sumbangan dan bantuan yang semakin meningkat saban tahun.

“Ini sekaligus menidakkan gambaran negatif pihak-pihak tertentu terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menterinya, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng,” katanya di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Masjid al-Huda, Faizal Hussain dan Shahrizal Harun (Guru Besar Sekolah Agama al-Falah).

Dalam pada itu, Rosidi turut menyampaikan hadiah kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam pembelajaran dan juga kehadiran.

Majlis ikhtifal tersebut merupakan salah satu acara yang dijalankan sempena Hari Muhibbah Sungai Bakau anjuran bersama Sekolah Agama al-Falah dengan Masjid al-Huda dan Sekolah Kebangsaan Sungai Bakau.

Dalam pada itu, menurut Faizal, nama muhibbah dipilih kerana setiap penduduk di Sungai Bakau melibatkan diri pada hari tersebut tanpa mengambil kira ideologi politik masing-masing.

“Dengan kerjasama erat yang ditunjukkan, besar kemungkinan program seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang, katanya.

Program selama tiga hari berkenaan diisi dengan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti ceramah dan kuliah, pemeriksaan kesihatan, kursus pemakanan oleh pejabat kesihatan dan gerai pameran.