Hospital Pulau Pinang perkenal semakan nombor giliran klinik secara dalam talian, mudahkan urusan pesakit

Admin
whatsapp image 2026 07 27 at 13.12.01

GEORGE TOWN – Hospital Pulau Pinang terus memperkukuh transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan menerusi pelaksanaan sistem semakan nombor giliran klinik secara dalam talian yang membolehkan pesakit dan penjaga menyemak perkembangan giliran masing-masing hanya menggunakan telefon pintar.

 

Inisiatif mesra rakyat itu membolehkan orang ramai mengimbas kod QR yang disediakan di hospital atau melayari laman sesawang https://crchpp.moh.gov.my/qms bagi mengetahui status giliran semasa di 12 klinik tanpa perlu menunggu dalam tempoh yang lama di ruang menunggu.

 

whatsapp image 2026 07 27 at 12.28.30

whatsapp image 2026 07 27 at 12.28.29
Imbas kod QR untuk mengakses sistem Queue Management System (iQMS) Hospital Pulau Pinang.

 

Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Pulau Pinang, Dato’ Tay Leong Seng berkata, penggunaan teknologi tersebut merupakan satu langkah signifikan dalam meningkatkan pengalaman pesakit selain mewujudkan persekitaran hospital yang lebih selesa dan efisien.

 

Transformasi digital seperti ini bukan sahaja memudahkan pesakit menyemak giliran mereka secara masa nyata, malah membantu mengurangkan kesesakan di kawasan menunggu sekali gus mengurangkan risiko jangkitan silang.

 

“Pesakit serta penjaga juga mempunyai lebih fleksibiliti untuk mengurus masa. Mereka boleh berehat di kawasan hospital, mendapatkan makanan atau minuman, menyelesaikan urusan ringkas ataupun menunggu di dalam kenderaan sebelum kembali apabila giliran hampir tiba,” ujarnya ketika dihubungi oleh Buletin Mutiara pada 27 Julai 2026.

 

whatsapp image 2026 07 27 at 13.43.42
TAY Leong Seng.

 

Menurut beliau, kemudahan tersebut turut memberi manfaat kepada warga emas, kanak-kanak dan individu berkeperluan khas yang tidak lagi perlu menunggu terlalu lama di kawasan klinik.

 

Dalam perkembangan sama, Leong Seng turut menggalakkan orang ramai yang mempunyai ahli keluarga menerima rawatan di wad Hospital Pulau Pinang supaya memanfaatkan kemudahan Anjung Kasih, sebuah pusat penginapan sementara khas untuk penjaga pesakit daripada golongan berpendapatan rendah.

 

whatsapp image 2026 07 27 at 13.43.36 (1)
ANJUNG Kasih yang terletak di Jalan Residensi di sini.

 

Jelas beliau, Anjung Kasih yang mula beroperasi pada tahun 2018 merupakan hasil kerjasama Hospital Pulau Pinang dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui pengubahsuaian sebuah asrama kakitangan lama bagi menyediakan tempat penginapan yang selesa, bersih dan selamat.

 

Ramai keluarga pesakit datang dari kawasan yang jauh dan berdepan kekangan kewangan, maka, Anjung Kasih diwujudkan bagi meringankan beban mereka supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada penjagaan ahli keluarga yang sedang menerima rawatan.

 

“Kemudahan ini mencerminkan komitmen Hospital Pulau Pinang dalam memastikan aspek kebajikan pesakit dan keluarga turut diberi perhatian, bukan sekadar rawatan perubatan,” katanya lagi.

 

whatsapp image 2026 07 27 at 13.43.36
SUASANA di halaman Anjung Kasih.

 

Difahamkan, Anjung Kasih menyediakan 12 bilik yang mampu menempatkan sehingga enam penghuni bagi setiap bilik selain dilengkapi kemudahan asas seperti katil, bantal, selimut, almari pakaian dan kipas. Turut disediakan adalah surau, ruang makan yang dilengkapi penapis air, peti sejuk dan ketuhar gelombang mikro, bilik dobi, ruang santai, televisyen serta kemudahan seterika.

 

Leong Seng memaklumkan bahawa kemudahan tersebut terbuka kepada warganegara Malaysia yang memenuhi syarat kelayakan termasuk pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan, mempunyai ahli keluarga terdekat yang sedang menerima rawatan di wad Hospital Pulau Pinang, menetap jauh dari hospital serta mendapat pengesahan daripada kakitangan perubatan di wad.

 

“Permohonan boleh dibuat dengan mendapatkan borang di wad masing-masing sebelum dinilai oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan berdasarkan faktor pendapatan, jarak kediaman, kekosongan bilik dan keperluan semasa,” katanya.

 

Tegas beliau, pelaksanaan kedua-dua inisiatif tersebut mencerminkan usaha berterusan Hospital Pulau Pinang dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan melalui gabungan inovasi digital dan pendekatan berteraskan kebajikan demi kesejahteraan pesakit serta keluarga mereka.