Hotel tanpa lesen, PBT ambil tindakan tegas

Oleh: WATAWA NATAF ZULKFILI

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa beliau mewakili pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini sedia menyahut cabaran Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MAHB) Pulau Pinang untuk mengambil tindakan tegas terhadap hotel yang tidak mempunyai lesen.

Perkara itu dinyatakan pada sidang media bagi mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mana pengerusi persatuan terbabit, Datuk Lim Mee Lee mencabar PBT negeri ini supaya mengambil tindakan terhadap pemilik hotel berkaitan.

“Saya memandang serius terhadap cabaran ini kerana ia merupakan tanggungjawab PBT dalam memastikan pengoperasian hotel di seluruh negeri (ini) mempunyai lesen bagi mengelakkan perkara-perkara tidak diingini berlaku lalu menjadi isu berbangkit.

“Isu penguatkuasaan pemutihan seperti ini sepatutnya tidak dipertikaikan mana-mana pihak.

“Tambahan pula, notis pemutihan ini telah diberi dan perjumpaan dengan pemilik hotel telah diadakan sejak bulan Mac tahun ini lagi,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Pada perjumpaan Mac lalu, Kon Yeow pernah memaklumkan bahawa pemilik-pemilik hotel bajet mesti mengemukakan permohonan lesen masing-masing sebelum 30 September ini.

Kon Yeow memberitahu, mengikut peruntukan undang-undang, lesen hotel terbahagi kepada tiga akta iaitu Akta Lesen Perniagaan, Akta Perancangan Bandar dan Desa serta Akta Jalan Parit dan Bangunan.

“Ketiga-tiga akta ini mampu menyebabkan pemilik yang tidak mempunyai lesen didenda dari RM250 hingga tidak melebihi RM500,000 serta penjara maksimum kurang dari tiga tahun sekiranya didapati bersalah,” jelas beliau.

Tambahnya, sebagai tambahan, pemilik- pemilik hotel juga perlu faham bahawa pemutihan yang dijalankan bukan untuk menyusahkan, tetapi demi kepentingan serta keselamatan pengunjung dan pemilik.