MPSP komited lahirkan Seberang Perai yang lebih sihat

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Seramai 650 peserta menyertai Larian Menara Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) 2014 yang diadakan di ibu pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit di sini baru-baru ini.

Menurut Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif, aktiviti sihat berkenaan merupakan penganjuran tahun kedua sejak diadakan pada tahun lepas.

“Selaras dengan seruan Kerajaan Negeri untuk melahirkan Pulau Pinang yang lebih Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat, MPSP berharap penganjuran sukan ini mampu melahirkan masyarakat yang mementingkan kesihatan.

“MPSP ingin memperkenal dan mengembangkan aktiviti sukan dan riadah dengan harapan ia dapat meningkatkan tahap kecergasan serta kesihatan penduduk Seberang Perai,” katanya pada Majlis Flag Off Larian Menara MPSP 2014 di sini baru- baru ini.

Tambah Maimunah, peserta larian tersebut menamatkan larian sejauh 7 kilometer mengelilingi Bandar Perda sebelum berlari menaiki 412 anak tangga di dalam bangunan MPSP sehingga ke tingkat 16.

“Penyertaan yang amat mengalakkan pada kali ini menggambarkan kerjasama dan sokongan padu daripada masyarakat terhadap program kesihatan anjuran MPSP.

“Ini merupakan tanda positif dan sokongan daripada masyarakat setempat. “Adalah diharapkan agar lebih ramai lagi yang akan menyertai pada masa akan datang,” ujar Maimunah.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani, Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Perbandaran MPSP) dan tiga Ahli Majlis MPSP iaitu Tan Cheong Heng, Ahmad Tarmizi Abdullah dan Mohamad Shaipol Ismail.

Sebanyak enam kategori dibuka kepada para peserta melibatkan pelbagai peringkat umur.

Bagi menarik lebih banyak penyertaan pada penganjuran kali ini, setiap penyertaan diberikan sijil dan medal sebagai tanda penghargaan selain pemenang yang membawa pulang hadiah wang tunai serta trofi.