Hubungi pusat khidmat maklum balas

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN BARU – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon meluangkan masa hampir satu jam meramahi dan mendekati permasalahan para peniaga pada lawatan beliau di Kompleks Pasar Bayan Baru di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Rashid, segala permasalahan dan aduan yang diterima akan dilanjutkan kepada pengetahuan pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) selaku pihak pengurusan pasarpasar awam di negeri ini untuk tindakan selanjutnya.

“Lawatan hari ini, membolehkan saya mendekati serta mengetahui masalah yang dihadapi para peniaga di sini secara dekat dan peribadi.

“Terdapat beberapa masalah yang diutarakan, antaranya adalah berkenaan sewa bulanan di kawasan pasar basah, manakala terdapat juga cadangan supaya diadakan dialog terbuka bersamasama para peniaga di sini,’’ katanya ketika lawatan di Kompleks Pasar Bayan Baru baru-baru ini.

Pada lawatan itu, Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak turut mengedar kalendar tahun baru dan limau mandarin kepada para peniaga serta pengunjung pasar berkenaan.

Menurut Mohd. Rashid, sebelum ini, MPPP telah memberikan pengurangan bayaran bulanan kepada peniaga di tingkat satu kompleks berkenaan yang mengusahakan perniagaan pakaian.

“Peniaga pakaian di tingkat satu dulunya kita telah berikan pengurangan sewa.

“Malah, (MPPP) juga telah memberikan kelonggaran kepada mereka menjalankan perniagaan di tingkat bawah memandangkan kekurangan pengunjung di tingkat atas,’’ jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa bagi kes peniaga di pasar basah, berkemungkinan MPPP akan meneliti semula permohonan tersebut berdasarkan kepada statistik pengunjung yang datang seawal 4 pagi ke pasar berkenaan.

Sebarang aduan ataupun permasalahan boleh hubungi Pusat Khidmat Mohd. Rashid di talian 04 – 646 4700 (Isnin hingga Khamis) bermula jam 9 hingga 11 malam.