BERTAM – Kerajaan amat mengalu-alukan lebih banyak syarikat korporat tampil memainkan peranan dalam memperkasa sektor pendidikan melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada komuniti sekolah.
Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Pulau Pinang, Mohd. Iqbal Mohd. Noor berkata, usaha tersebut adalah selaras dengan aspirasi Inisiatif Sejahtera MADANI yang menekankan pembangunan rakyat secara inklusif dan menyeluruh melalui kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta serta masyarakat.
Menurut beliau, di bawah inisiatif Sejahtera MADANI, pelbagai program telah dilaksanakan bagi membantu sekolah-sekolah termasuk penganjuran kelas tuisyen percuma, bantuan ‘Back to School’ dan pelbagai lagi usaha yang mampu menyumbang kepada peningkatan mutu pendidikan.
“ICU menyambut baik dan mengalu-alukan syarikat korporat untuk tampil membantu agensi-agensi kerajaan khususnya dalam sektor pendidikan.
“Setiap usaha yang dilakukan untuk memperkukuh ekosistem pendidikan, sama ada melalui kerajaan, institusi pendidikan mahupun sektor swasta, merupakan satu pelaburan jangka panjang yang amat bernilai demi masa depan negara,” katanya pada Majlis Sejahtera MADANI (Pendidikan) dan Serahan Sumbangan CSR Hunza Group kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bertam Indah di sini pada 8 Jun 2026.

Turut hadir, Pengasas dan Penasihat Eksekutif Hunza Group, Dato’ Seri Khor Teng Tong; Timbalan Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara, Ahmad Firdaus Din; Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Indah, Hazlina Kasah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bertam Indah, Samad Yusoff.
Pada majlis tersebut, Hunza Group menyampaikan sumbangan CSR bernilai RM35,000 yang merangkumi sebuah Smart Board 75 inci, dua unit Smart TV 75 inci, 180 unit kerusi dan meja plastik untuk kegunaan pelajar serta satu set kerusi dan meja guru lengkap dengan mobile pedestal yang telah diserahkan kepada pihak sekolah pada minggu lalu.

Mohd. Iqbal berkata, program berkenaan turut mencerminkan pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation yang sentiasa ditekankan Kerajaan MADANI dalam memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan secara kolaboratif.
“Pembangunan negara tidak boleh digerakkan oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama sektor swasta, institusi pendidikan dan masyarakat bagi menghasilkan impak yang lebih besar serta mampan kepada rakyat.
“Kejayaan sesuatu agenda pembangunan hari ini tidak lagi diukur berdasarkan apa yang dilakukan oleh kerajaan sahaja tetapi sejauh mana semua pihak dapat berganding bahu dan berkongsi tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut memuji komitmen Hunza Group yang disifatkan sebagai manifestasi nilai teras Malaysia MADANI seperti ihsan, kemampanan dan daya cipta menerusi kesediaan syarikat tersebut menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.
Menurutnya, sebagai sebuah syarikat yang banyak menyumbang kepada pembangunan Pulau Pinang, Hunza Group telah membuktikan bahawa kejayaan korporat bukan sahaja diukur melalui pencapaian perniagaan, malah melalui sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan generasi masa depan.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak syarikat korporat akan tampil menyokong pembangunan pendidikan dan komuniti kerana sumbangan terhadap sektor tersebut merupakan pelaburan strategik dalam melahirkan bakat serta tenaga kerja masa depan negara.
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal turut menyeru kepada para pelajar agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan serta terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah.
“Sumbangan yang diterima hari ini bukan sekadar bantuan atau kemudahan fizikal tetapi merupakan simbol kepercayaan dan harapan terhadap potensi yang ada dalam diri anda semua.
“Gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya, belajar bersungguh-sungguh, hormati guru dan ibu bapa serta tanamkan azam untuk menjadi insan yang berjaya dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Teng Tong berkata sumbangan yang diberikan adalah sebagai inisiatif menyokong keperluan pihak sekolah, sekali gus membantu meningkatkan mutu pendidikan negara.
“Pemberian sumbangan kepada sekolah-sekolah yang terpilih merupakan sesuatu yang amat bermakna bagi pihak Hunza Group dalam menyokong pendidikan nasional,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hazlina menyifatkan sumbangan yang diterima sebagai amat bermakna dan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong peningkatan mutu pendidikan pelajar.
“Sekolah telah merangka dan melaksanakan Projek Akselerasi SPM, satu inisiatif strategik yang memberi fokus kepada peningkatan prestasi akademik murid, khususnya calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Projek ini merangkumi pelbagai program intervensi, bimbingan berfokus, kelas tambahan, program motivasi dan pemantauan berterusan.
“Justeru, sumbangan yang diterima ini amat bermakna dan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong pelaksanaan Projek Akselerasi SPM SMK Bertam Indah demi memastikan anak-anak kami mendapat peluang pembelajaran yang lebih berkualiti,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak-pihak berkaitan terutamanya Hunza Group dan ICU JPM dalam membantu merealisasikan pemberian sumbangan tersebut.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI