‘I Love Komtar Walk 2022′ pada 29 Mei, pendaftaran dibuka sekarang!

Admin

GEORGE TOWN – Acara jalan ria yang dikenali sebagai ‘I Love Komtar Walk 2022’ sejauh lima (5) kilometer (km) sekitar kawasan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dekat George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO akan diadakan pada 29 Mei 2022 ini.

TEH Lai Heng

Mengumumkan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng memberitahu bahawa acara tersebut adalah kolaborasi antara pihaknya dengan Pertubuhan Kesedaran Komuniti Tanjong Pulau Pinang (PKKT) dan firma penganjur TLM Event serta dengan sokongan Kerajaan Negeri hari ini.

“Acara ini merupakan pertama kali pihak saya anjurkan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“(Dan) ini buat julung kali dianjurkan selepas kira-kira dua tahun kita menempuhi pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, acara ini adalah berlandaskan Visi Penang2030 yang mana untuk mencapai (motto) Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, untuk menggalakkan kembali sekalian rakyat mengamalkan gaya hidup sihat,” ujarnya dalam sidang media promosi di The TOP, Tingkat 60 KOMTAR di sini pada 12 Mei 2022.

Dalam pada itu, Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pihaknya berharap acara ini akan melonjak kembali semua sektor perniagaan berkaitan di samping menarik kembali sekalian pengembara melancong ke kawasan-kawasan menarik di sekitar KOMTAR.

“KOMTAR masih menjadi mercu pembangunan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia di Pulau Pinang dan pada tahun 1986 pernah menjadi bangunan paling tinggi (negara).

“Keunikan KOMTAR pada hari ini bukan sahaja dengan adanya Komtar Walk yang berwajah baharu, malah pelbagai tarikan pelancongan bertaraf dunia yang lain seperti The TOP, The Gravityz dan Tech Dome Pulau Pinang (PTD) serta dwi pasar raya 1st Avenue Mall dan Prangin Mall, tapak Taman Arkeologi Bandar Sia Boey dan sebagainya,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sebarang informasi lanjut ataupun urusan pendaftaran boleh layari laman Facebook ’PKKT Pertubuhan Kesedaran Komuniti Tanjong Pulau Pinang’ dan TLM Event.

“Pendaftaran penyertaan ‘I Love Komtar Walk 2022’ telah dibuka sehingga 21 Mei 2022 sahaja, kini sudah ribuan pendaftaran (secara dalam talian), dan kita hadkan sehingga 3,000 penyertaan sahaja.

“Yuran pendaftaran adalah RM39 seorang, dan peserta akan mendapat baju-T acara, medal penyudah acara (jalan ria) dan layak sertai sesi cabutan bertuah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Pemasaran dan Acara Oat King, Reenee Teh yang menaja 3,000 pek minuman bijirin yang bernilai kira-kira RM9,000.

“Selepas ini, jika ada mana-mana penaja berminat menyertai acara ini, boleh terus hubungi Pusat Khidmat ADUN Komtar saya,” katanya lagi.

Bercakap pada sidang media sama, koordinator ‘I Love Komtar Walk’, Benji Ang memberitahu bahawa pihaknya menjangkakan acara jalan ria sejauh 5km akan mengambil masa kurang dua jam, sebelum acara cabutan bertuah dan sebagainya.

Lau Keng Ee iaitu Pegawai Khas Kepada Ahli Parlimen Tanjong (Chow Kon Yeow); Pengerusi PKKT, Andrew Wong Han Cheng; Pengarah Urusan TLM Event, ‘Jack’, dan Ketua Pegawai Eksekutif PTD, Khoo Boo Wooi antara individu yang turut menyertai sidang media promosi ‘I Love Komtar Walk 2022’ tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : TAN KEAN MING