IBPSS 7.0 himpunkan pelajar antarabangsa perkasa pendidikan lestari

Admin
collage 2026 04 29 08 11 37

GEORGE TOWN – Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang (GREW) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Green Lane serta sokongan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia dan UNESCO, baru-baru ini berjaya menganjurkan program Perkongsian Amalan Terbaik Antarabangsa Pendidikan untuk Pembangunan Mampan 7.0 (IBPSS 7.0).

 

Program yang memasuki edisi ketujuh itu menghimpunkan hampir 70 pelajar dari enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Brunei, China dan India menerusi platform dalam talian bagi berkongsi amalan lestari yang dilaksanakan di sekolah masing-masing.

 

Inisiatif tersebut sekali gus mempamerkan kekuatan kerjasama antarabangsa serta pertukaran idea merentas negara dalam usaha memperkasakan pendidikan untuk pembangunan mampan.

 

Pengerusi GREW, Khou Jerome, dalam ucapannya berkata, tema tahun ini  ‘Sekolah sebagai Hab Pembelajaran Lestari’ bukan sekadar tema biasa, sebaliknya satu seruan penting ke arah transformasi sistem pendidikan.

 

Menurut beliau, program itu terus menjadi pemangkin kepada peralihan daripada pembelajaran berasaskan pengetahuan kepada pembelajaran berasaskan tindakan yang lebih berimpak.

 

Sekolah perlu beralih menjadi ekosistem pembelajaran yang mengintegrasikan amalan kelestarian dalam kehidupan seharian.

 

“Pelajar bukan sahaja perlu mempelajari tentang penjagaan alam sekitar, tetapi juga melaksanakannya; bukan sekadar memahami perubahan iklim, malah perlu bertindak; bukan hanya berbincang tentang penyelesaian, tetapi juga melaksanakannya sendiri,” katanya.

 

Beliau turut menegaskan bahawa dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan isu alam sekitar yang semakin serius, kesedaran semata-mata tidak lagi mencukupi.

 

Sebaliknya, pendidikan perlu membina keupayaan pelajar untuk bertindak, berinovasi dan menyelesaikan masalah, sekali gus menjadikan sekolah sebagai agen perubahan utama dalam masyarakat.

 

Katanya, IBPSS berfungsi sebagai platform penting yang menghimpunkan sekolah dari pelbagai negara untuk memupuk inovasi, kerjasama serta perkongsian pengalaman dalam agenda kelestarian global.

 

img 20260429 wa0002

 

Sementara itu, wakil Pejabat Serantau UNESCO, Santosh Khatri, yang mewakili beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Filipina, dalam ucapan penutupnya menegaskan komitmen UNESCO dalam menyokong negara anggota melalui nasihat dasar serta pembangunan kapasiti.

 

Beliau berkata, pembentangan tersebut turut menyoroti usaha kolaboratif bersama ASEAN dalam mempromosikan pertumbuhan inklusif dan keamanan serantau.

 

Beliau menyeru agar kerjasama strategik terus diperkukuh bagi melindungi kepelbagaian budaya serta memastikan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua, selaras dengan misi UNESCO di rantau ini.