MACHANG BUBUK – Kira-kira 110,000 kanak-kanak bawah usia empat tahun di Pulau Pinang ketika ini dijaga oleh ibu bapa atau pengasuh tidak berdaftar, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan, pengabaian serta perkembangan awal kanak-kanak.
Pengarah Sekretariat Kasih Madani, Fadhil Rahman berkata, situasi itu perlu diberi perhatian serius kerana masih ramai pengasuh tidak mempunyai latihan atau kelayakan profesional dalam penjagaan kanak-kanak.
Menurut beliau, penjagaan kanak-kanak bukan sekadar memenuhi keperluan harian, malah memerlukan ilmu, kemahiran dan kefahaman berkaitan perkembangan awal kanak-kanak.
“Keadaan ini menunjukkan masih ramai ibu bapa memilih jagaan sendiri atau pengasuh persendirian yang sebahagiannya tidak berdaftar,” ujarnya ketika ditemui pada Program Eco Family Day Kasih Madani di Taman Ekorimba Bukit Mertajam, semalam.
Beliau berkata, program Kasih Madani yang digerakkan oleh Merdeka Center dengan sokongan Yayasan Sime Darby bertujuan memperkukuh profesionalisme pengasuh terutama dalam era peningkatan keluarga dwi-pendapatan dan ibu bapa bekerja.
Jelasnya, program itu menghimpunkan pengasuh dan ibu bapa melalui kursus jangka pendek, seminar dalam talian serta latihan berkaitan pengasuhan dan perkembangan awal kanak-kanak.
“Pulau Pinang mencatat penyertaan paling aktif apabila kira-kira 400 pengasuh menyertai program ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fadhil turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab membesarkan anak kepada pengasuh semata-mata.
“Ibu bapa perlu meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama anak-anak melalui aktiviti membaca, bercerita dan aktiviti kekeluargaan,” katanya.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik yang hadir menyempurnakan program tersebut berkongsi pengalaman nostalgia menantikan ketibaan perpustakaan bergerak ketika zaman kanak-kanaknya di kampung.

Beliau berkata, budaya membaca perlu diterapkan sejak kecil kerana ia memainkan peranan penting dalam perkembangan awal kanak-kanak.
Sementara itu, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim turut menekankan kepentingan penjagaan kesihatan diri khususnya dalam kalangan ibu dan suri rumah yang sering mengutamakan keluarga sehingga mengabaikan kesihatan sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon pula berkata, pengasuh memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan awal kanak-kanak dan membentuk generasi masa depan negara.
“Kanak-kanak hari ini adalah pewaris masa depan negara, sebab itu aspek penjagaan, pendidikan awal dan hubungan kekeluargaan perlu diberi perhatian serius,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan mengurangkan ketagihan skrin dalam kalangan kanak-kanak serta menggalakkan lebih banyak interaksi berkualiti antara ibu bapa dan anak-anak.

Program Eco Family Day Kasih Madani dianjurkan bersama Pusat Khidmat ADUN Machang Bubuk, Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Machang Bubuk serta MPKK Cherok Tok Kun dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk pertandingan mewarna, eksplorasi alam semula jadi, sudut permainan sensori, perpustakaan bergerak, saringan kesihatan dan sesi penceritaan kanak-kanak.