IHS COE bakal wujudkan tenaga kerja mahir di Pulau Pinang

KETUA Menteri (kanan sekali) menunjukkan plat penghargaan yang diterima daripada IHS COE bersama SVP Customer Care, Kerri Nelson (kiri sekali).
KETUA Menteri (kanan sekali) menunjukkan plat penghargaan yang diterima daripada IHS COE bersama SVP Customer Care, Kerri Nelson (kiri sekali).

GEORGE TOWN – Pembukaan Pusat Kecemerlangan IHS (IHS Centre of Excellence – COE) menandakan satu pencapaian Pulau Pinang mempromosikan sektor perkhidmatan moden dalam bidang perkhidmatan perkongsian penyelidikan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir menyempurnakan majlis perasmian dalam ucapannya berkata, penubuhan IHS COE di Pulau Pinang merupakan satu penghormatan kepada rakyat negeri ini kerana ia membuka peluang lebih luas dan besar bagi mereka untuk dilatih dalam bidang minyak dan gas; rekabentuk dan rantaian bekalan; pertahanan ; risiko dan keselamatan; alam sekitar; keselamatan dan kesihatan; kewangan dan undang-undang serta mengekalkan tenaga kerja mahir supaya bekerja di sini dan dalam negara ini.

“COE dilihat sebagai pusat terbesar di dunia bagi IHS, dan saya percaya ia akan dianggotai dan diketuai rakyat Malaysia. Selain itu, ia juga akan meningkatkan usaha di negeri ini bagi mewujudkan hab perkhidmatan kepada sektor perkilangan sedia ada di Pulau Pinang.

“IHS COE merupakan COE ketiga untuk operasi IHS, selepas satu di Eaglewood, Colorado, Amerika Syarikat dan Bracknell, United Kingdom (UK),” ujar Ketua Menteri lagi.

Antara aktiviti yang dijalankan untuk memberi perkhidmatan IHS yang beroperasi di Amerika Syarikat, UK, Switzerland, India, Australia, Hong Kong, Jepun dan Singapura termasuk penjagaan pelanggan dan perkhidmatan perolehan; sokongan teknikal dan penyelenggaraan termasuk maklumat dan pandangan operasi perkhidmatan; pengurusan umum dan pentadbiran yang merangkumi perkhidmatan kewangan data maklumat perkhidmatan pengurusan dan pemprosesan.

Dalam pada itu, IHS COE ditubuhkan untuk menarik dan mengekalkan individu berbakat di Pulau Pinang sebagai platform untuk menjadikan impian semua orang menjadi kenyataan. Ini adalah selaras dengan Pembangunan Ekonomi Pulau Pinang dan strategi pelaburan yang mana Ketua Menteri berharap bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pelancongan akan meningkat menjelang tahun 2020.

Turut hadir di majlis perasmian tersebut ialah Naib Presiden Bahagian Sumber Manusia IHS Asia Pasifik, Paul McAcoy, CFO Richard Walker dan Pengerusi Eksekutif Jawatankuasa InvestPenang, Datuk Lee Kah Choon serta Pengurus Besar InvestPenang, Loo Lee Lian.