IKEA Batu Kawan dibuka 14 Mac, tawar kelengkapan rumah gaya Sweden

Admin

BUKIT TAMBUN – Gedung membeli-belah kelengkapan rumah terkemuka dari Sweden yang kini bertapak di Batu Kawan bakal memulakan operasinya pada 14 Mac 2019 ini.

IKEA turut menawarkan pelbagai produk yang berkualiti dengan reka bentuk menarik.

Dilengkapi dengan 49 buah ruang pameran merentasi ruang seluas 470,135 kaki persegi, gedung IKEA Batu Kawan itu memberikan sentuhan tempatan dari segi penyelesaian kelengkapan rumah yang bersesuaian dengan kehidupan warga Pulau Pinang dan seluruh penduduk wilayah utara tanah air.

Pengurus Gedung IKEA Batu Kawan, A. Pathmalingam berkata, pihaknya kini sedang melakukan persiapan terakhir bagi mencipta kehidupan harian yang lebih baik kepada orang ramai.

“Kami kini berada pada fasa terakhir dalam penyediaan operasi, produk barangan dan kelengkapan dalaman.

“Selain menyediakan tempat bersantai yang menarik kepada pelanggan, kami juga komited menginspirasikan dalam mengamalkan gaya hidup lestari.

Selain kelengkapan rumah, IKEA juga terkenal dengan hidangan bebola daging yang lazat.

“Bagi meningkatkan kemudahan pelanggan, gedung ini turut dilengkapi dengan 1,950 ruang letak kereta,” katanya pada majlis pra pembukaan eksklusif ‘Roof Capping’ bersama-sama pengamal media di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Timbalan Pengurus IKEA Batu Kawan, Gordon Wimalasiri; Pengurus Komunikasi dan Reka Bentuk Dalam, Suhaimi Misri dan Pengurus Makanan, Jason Wong.

Selain menawarkan akses mudah kepada 8,000 produk kelengkapan rumah gaya Sweden dengan reka bentuk yang menarik, berfungsi dan mampu milik, IKEA juga turut menyediakan restoran yang mampu menampung seramai 756 pelanggan dengan menawarkan beraneka jenis makanan yang lazat.

IKEA Batu Kawan terletak di Bandar Cassia dan turut menyediakan kawasan tempat letak kereta yang luas.

IKEA Batu Kawan merupakan cawangan pertama di wilayah utara tanah air dan beroperasi di alamat 752, Persiaran Cassia Selatan 8, Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS