Ikhlas & sabar rahsia Mak Lang katering

Oleh: YAP LEE YING
Gambar: IDZHAM AHMAD

USIA tidak pernah menjadi penghalang kepada Mak Lang untuk meneruskan minat beliau dalam bidang masakan. Malah, pada usia 63 tahun, Mak Lang atau nama sebenar, Fadzilah Hashim masih gah memegang senduk bagi menyediakan pelbagai hidangan makanan bagi 2,000 jemputan.

Mak Lang yang bergelar ibu tunggal sejak lima tahun lalu merupakan pengusaha katering popular di Balik Pulau.

Tanpa sebarang publisiti yang diusahakan, masakan Mak Lang mula menjadi buah mulut apabila beliau memulakan perniagaan gerai menjual makanan secara kecil-kecilan di Simpang Empat, Genting, Balik Pulau sejak 18 tahun lalu.

“Sambil-sambil berniaga, Mak Lang ambil juga tempahan sekiranya ada yang minta.

“Setelah betul-betul yakin dan atas sokongan serta dorongan arwah suami, Mak Lang baru berani menceburi bidang katering pada tahun 2002,’’ katanya ketika diwawancara Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Antara menu masakan popular Mak Lang yang dikurniakan lima cahaya mata adalah nasi lemak, ayam goreng, kurma daging, dalca dan roti jala.

Tidak dinafikan, Buletin Mutiara yang berkesempatan merasai masakan-masakan tersebut bersetuju dengan pendapat ramai.

Walaupun pedas, sekali rasa sambal tumis ikan bilis Mak Lang, memang nak lagi!

Begitu juga dengan roti jala yang berwarna keperang-perangan bukan hanya lembut beralun, malah, kuah kari ayam adalah cukup lemak dengan isi yang cukup lembut.

Mengulas lanjut, Mak Lang menyatakan bahawa resipi masakan beliau adalah daripada arwah Tok beliau.

“Masa darjah dua, Mak Lang selalu tengok arwah Tok buat kuih jual.

“Pada kesempatan itu, Mak Lang pun belajar sekali membuat kuih-kuih basah seperti kuih lapis, karipap, bengkang, tepung bungkus dan kuaci,’’ ujarnya sambil menyatakan bahawa bidang masakan juga merupakan bakat semulajadi beliau.

Bercerita mengenai pengalaman ketika mula menceburi bidang katering, Mak Lang tidak menafikan bahawa beliau risau mengenai anggaran bekalan-bekalan yang diperlukan.

“Semua main agak (anggaran) je. Lama-kelamaan, kemahiran tu datang sendiri berdasarkan pengalaman,’’ jelas beliau yang memperoleh bekalan rempah daging dan beriani dari sebuah premis di Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU) yang menjual produk asli dari India.

Di samping keenakan masakan Mak Lang, nilai pegangan yang menjamin kejayaan perniagaan beliau kini adalah keihlasan dan kesabaran yang disemainya.

“Buat kerja kena sabar walaupun ada pihak-pihak lain cuba memburuk-burukkan kita. Ini kerana, semua yang datang adalah rezeki masing-masing dan hanya Allah sahaja yang tahu,’’ ujarnya ringkas.

Sepanjang bergiat dalam bidang tersebut, Mak Lang menyatakan bahawa beliau tidak pernah mengambil untung yang banyak dan memberi tempahan makanan tidak cukup kepada para pelanggan.

Malah, tempahan makanan juga tidak pernah tiba lewat ke lokasi.

Tanpa mengira sikit ataupun banyak tempahan diterima untuk sesebuah majlis, Mak Lang akan bangun seawal 4 pagi untuk menyiapkan masakan-masakan ditempah.

Sehingga kini, sebahagian besar tempahan diterima Mak Lang adalah di sekitar Balik Pulau.

Sekiranya, terdapat tempahan di luar kawasan termasuk Seberang Perai, beliau terpaksa ke lokasi majlis dengan syarat semua bahan disediakan oleh pelanggan.

Ini kerana, Mak Lang tidak mempunyai kemudahan logostik untuk menghantar barangan masakan ke lokasi di luar Balik Pulau.

Bagi perancangan masa depan, Mak Lang yang kini ‘menurunkan’ perniagaannya kepada anak keempat Izan Munirah Ramli, 34, berharap ia dapat diperluaskan terutamanya dalam penyediaan kelengkapan kemudahan logistik.

“Selagi larat, Mak Lang akan teruskan kerana masih sihat dan sudah biasa buat kerja tidak berhenti ditambah dengan minat,’’ jawabnya yang kini menyandang jawatan Ketua Bahagian Makanan Wanita Kampung Titi Teras, Balik Pulau.

NFO :
Mak Lang Katering
559, Kampung Titi Teras,
11000 Balik Pulau.
Tel. : 017 – 432 5276

B E R S A M A p a r a pembantu menyediakan bahan-bahan masakkan.
B E R S A M A p a r a
pembantu menyediakan bahan-bahan masakkan.

 

S E B A H A G I A N perkakas katering yang digunakan.
S E B A H A G I A N
perkakas katering
yang digunakan.

 

MAK Lang.
MAK Lang.