AES garis panduan bantu miskin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh menyatakan bahawa Setiausaha MCA Pulau Pinang, Lau Chiek Tuan tidak melakukan ‘kerja rumahnya’ apabila membuat kenyataan mengenai parameter dan statistik kemiskinan negeri ini.

Katanya, dakwaan Chiek Tuan terhadap kenyataan Ketua Menteri, Y..A..B. Tuan Lim Guan Eng bahawa Pulau Pinang bakal menghapuskan kemiskinan pada 2013 adalah omongan kosong di dalam akhbar Bahasa Inggeris, The Star bertarikh 5 Disember lalu bertajuk, ‘Poverty not eradicated’ sebagai kurang cerdik dan hanya mainan politik untuk memancing undi menjelang pilihanraya.

“Chiek Tuan mungkin tidak melakukan ‘kerja rumah’nya tentang parameter dan statistik kemiskinan Pulau Pinang.

“Walhal, Kerajaan Negeri melalui Agenda Ekonomi Saksama (AES) telah menggariskan beberapa panduan bagi membantu golongan miskin keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Tambahnya, parameter kemiskinan kebangsaan kini masih ditakuk lama iaitu RM430 (jumlah pendapatan isi rumah) sebulan, sedangkan Kerajaan Negeri telahpun terdahulu menaikkan parameter sehingga kini mencecah RM770 sebulan bagi sebuah isi rumah
di negeri ini.

“Jumlah RM430 adalah ditetapkan oleh kerajaan persekutuan dan bukannya Kerajaan Negeri.

“Malah, sehingga ke hari ini parameter kemiskinan masih lagi tidak berubah,” tegasnya.

Tambah Boon Poh, melalui pelaksanaan AES, kadar kemiskinan di Pulau Pinang dapat dihapuskan pada tahun 2013 berbanding sasaran awal iaitu tahun 2015.

“Contohnya pada tahun 2009, Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dalam negeri.

“Chiek Tuan harus mengkaji statistik dan parameter kemiskinan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya dia (Chiek Tuan) tahu bahawa Kerajaan Negeri mempunyai rekod cemerlang dalam usahanya membasmi kemiskinan di negeri ini.

“Janganlah, takkan dalam hal ehwal kebajikan pun masih nak bermain politik, kesianlah rakyat,” kata Boon Poh yang turut menyatakan bahawa Chiek Tuan hanya mengeluarkan kenyataan yang tidak berasaskan pada fakta sebenar.

PHEE Boon Poh.
PHEE Boon Poh.