Ilmu jahit ubah nasib ibu tunggal – Sarifah

BERMULA dengan hobi, akhirnya bakat menjahit dijadikan bekalan untuk mereputasi potensi kaum ibu tunggal membela hidup masing-masing.

Beliau percaya, Allah memberi kudrat dan peluang kepada semua manusia untuk mengubah nasib masing-masing.

Tinggal diri kita masingmasing sahaja, sama ada mahu merebut peluang dengan kudrat yang ada bagi mengubah hidup masing-masing.

Justeru, rancangan Zakat Pulau Pinang di bawah Unit Ekonomi dan Operasi Bengkel membuka bengkel jahit khusus untuk ibu tunggal bermula pada tahun 2005 tidak disia-siakan.

Sarifah Mohd. Idris, 31, berkata, tugas sebagai cikgu jahit serta penyelia bengkel tersebut banyak mengajarnya erti hidup adalah berkongsi ilmu.

“Pada mulanya, saya memang susa-suka sebab minat menjahit, tetapi, lama-lama timbul perasaan untuk membantu kawan-kawan (ibu tunggal).

“Walaupun saya pernah kerja dengan gaji yang lumayan di tempat lain, tetapi, saya rasa kerja di sini lebih sesuai dengan jiwa saya,” ujar beliau semasa diwawancara oleh wartawan akhbar Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB baru-baru ini.

Kini, di bawah seliaannya, terdapat hampir 10 ibu tunggal dalam latihan.

Saban hari, golongan ibu tunggal ini akan didedah mengenai teknik menjahit pakaian secara komersial.

“Macam mana kilang memproses dan mengeluarkan pakaian, amalan itu diamalkan di sini secara berperingkat dan komersial.

“Memang cita-cita kita di sini adalah melahirkan ibu tunggal yang berkemahiran (menjahit) kerana dengan kemahiran ini, mereka boleh buka kedai jahit atau mengambil upah menjahit dari rumah suatu hari nanti,” ujar beliau.

Menurut beliau, terdapat kira-kira enam bengkel menjahit pakaian membabitkan ibu tunggal di bawah kendalian Zakat Pulau Pinang.

Beliau berkata, bengkel kendaliannya yang beroperasi di rumah kedai Taman Gelugor Indah, Tasek Gelugor merupakan bengkel ketiga ditubuhkan oleh Zakat Pulau Pinang.

SARIFAH Mohd. Idris (tengah).
SARIFAH Mohd.
Idris (tengah).

 

SARIFAH Mohd. Idris (paling kiri) sedang memberi tunjuk ajar kepada pelatih ibu tunggal mengenai teknik menjahit pakaian secara komersial sambil diperhatikan pegawai Zakat Pulau Pinang (paling kanan).
SARIFAH Mohd. Idris (paling kiri) sedang
memberi tunjuk ajar kepada pelatih ibu
tunggal mengenai teknik menjahit pakaian
secara komersial sambil diperhatikan
pegawai Zakat Pulau Pinang (paling kanan).

 

Selari dengan hasrat Zakat Pulau Pinang mahu membela nasib ibu tunggal, Sarifah berkata, pengurusan bengkel cuba sebaik mungkin untuk mesra dengan realiti ibu tunggal sendiri.

“Semua kita tahu bahawa ibu tunggal ada banyak tanggungjawab. Mereka adalah ‘ayah’ dan ibu kepada anak-anak mereka.

“Mereka kena cari rezeki untuk keluarga, mereka kena hantar dan jemput anak dari sekolah. Mereka kena urus makan dan minum anak-anak.

“Jadi, pengurusan di sini cuba sebaik mungkin fleksibal dengan ambil kira semua tanggungjawab pekerja yang berstatus ibu tunggal.

“Zakat Pulau Pinang sasar mudah, bengkel ini mesti menghasilkan seragam sekolah diperlukan oleh mereka dan kita cuba capai sasaran itu dengan pengurusan yang fleksibel ini,” ujar beliau.

Menurut beliau, sehingga November lepas, lebih 10,000 pasang pakaian seragam sekolah berjaya dihasilkan saban tahun.

“Buat masa ini, kami hentikan operasi menjahit pakaian sekolah kerana pakaian yang diperlukan (untuk tahun depan) sudah cukup.

“Buat masa sekarang, semua pakaian yang dijahit tidak dijual secara komersial, tetapi, dikembalikan kepada Zakat Pulau Pinang untuk diagihkan kepada mereka yang layak,” ujar beliau.

CABARAN

Sarifah berkata, beliau menganggap semua ibu tunggal di bawah seliaannya sebagai adik-beradik.

Justeru, beliau berkata, setiap anggota keluarga di sini memerlukan motivasi bekerja.

“Sebenarnya, hidup kita hari-hari boleh lancar sebab ada motivasi. Tak kiralah motivasi itu lahir dari dalam diri atau datang dari pengaruh luar.

“Ibu-ibu tunggal di sini pun selalu diberi motivasi. Selalu saya kata, ‘Allah tak ubah nasib kita melainkan kita sendiri berusaha mengubahnya’. Itu al- Quran yang kata.

“Dengan motivasi-motivasi sebeginilah menjadikan hampir semua cabaran yang wujud di bengkel ini boleh diselesaikan. Alhamdulillah,” ujar beliau.

Syarifah yang merupakan ibu kepada tiga anak tersebut mengakui bahawa sokongan suami tercinta banyak memberi kekuatan untuk beliau mengharungi cabaran menyelia bengkel jahitan membabitkan ibu tunggal.

HARAPAN

Sarifah tersenyum apabila ditanya mengenai keinginan untuk membuka pusat jahitan secara komersial seperti tenaga mahir di luar sana.

Beliau berkata, beliau ada mengambil upah menjahit secara kecil-kecilan di rumah kerana tidak mahu hilang fokus dalam mereputasi potensi ibu-ibu tunggal di bengkel buat masa ini.

“Ada juga berminat untuk macam (buka perniagaan atau butik) itu, tetapi, buat masa ini biarlah saya tumpu pada kerja.

“Saya sedar, sebenarnya bengkel ini diwujudkan oleh Zakat Pulau Pinang supaya membantu asnaf daripada menerima zakat kepada pengeluar zakat.

“Di sinilah, saya berasa ada tanggungjawab yang besar untuk membantu ummah. Erti hidup ini kan memberi, jadi, saya cuba berkongsi ilmu ini (menjahit) dengan ibu-ibu tunggal di sini.

“Kepada ibu tunggal di luar sana, perlu berjuang untuk diri dan anak-anak masing-masing.

Kita semua perlu bekerja dan jangan malas.

“Tuhan pun ada kata di dalam al-Quran bahawa Dia tidak akan mengubah nasib satu-satu kaum sehinggalah mereka sendiri yang mengubah nasib masing-masing,” ujar beliau sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat Pulau Pinang kerana cakna dengan nasib ibu tunggal di negeri berkenaan.