Sensitiviti penduduk Jln. Tanjung Bunga 7 dirujuk JKR

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN – Kerajaan Negeri akan terus berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya usaha pelebaran jalanraya dari dua lorong
ke empat lorong menghubungkan Jalan Raja Uda ke persimpangan Jalan Bunga Tanjung 7 mengambil kira sensitiviti penduduk setempat.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng berkata demikian sebagai reaksi kepada rungutan penduduk dari kira-kira 15 buah rumah teres dua tingkat di Jalan Bunga Tanjung 7, di sini yang mendakwa pelebaran jalan tersebut hampir mencecah sempadan rumah mereka.

“JKR memperuntukkan RM150,000 untuk melebarkan sebahagian daripada Jalan Tanjung Bunga 7 serta memasang satu lampu jalan di persimpangan berhampiran Jalan Raja Uda.

“(Projek pelebaran jalan) tersebut demi memenuhi kepenggunaan beribu-ribu kenderaan yang melambak (di jalan tersebut) tiap-tiap hari, selain, untuk memenuhi (keperluan) projek-projek pembangunan baru berdekatan (kawasan tersebut),” ujar beliau semasa melawat lokasi berwajib baru-baru ini di sini.

Terdahulu, pelebaran jalan tersebut dikatakan menerima rungutan penduduk setempat kerana jarak antara jalan itu dan pintu rumah penduduk berwajib adalah kira-kira 1.8 meter sahaja.

Kerja-kerja memecahkan turapan jalan yang turut membabitkan laluan pejalan kaki sejak beberapa minggu lepas, dikatakan bakal mengakibatkan penduduk setempat menghadapi masalah parkir di luar kawasan rumah.

Penduduk setempat dilaporkan turut membangkitkan isu keselamatan serta privasi mereka akan hilang sekiranya usaha melebarkan jalan tersebut diteruskan.

Hock Seng berkata, pelebaran jalan tersebut demi menyurai kesesakan trafik yang sebenarnya menyentuh kepentingan umum rakyat, termasuk sensitiviti penduduk setempat sendiri.

LIM Hock Seng
LIM Hock Seng.