Penang Mountain Bike Jamboree 2012 terus diminati

GEORGE TOWN – Setelah 10 tahun, perlumbaan Penang Mountain Bike Jamboree 2012 anjuran Samurai Roundtable Bicycle Club terus memperoleh sambutan menggalakkan daripada peserta profesional serata dunia dengan pembabitan seramai 1,561 peserta di sini baru-baru ini.

Selain peserta tempatan dari Sabah dan Sarawak, turut diterima adalah penyertaan dari Belanda, Britain dan Singapura.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi berkata, acara tersebut memperlihatkan kayuhan merentas desa sejauh 55 kilometer.

“Laluan dilalui menjanjikan satu cabaran getir yang pastinya menguji mental dan fizikal para peserta.

“Sambutan penganjuran adalah amat menggalakkan apabila seramai 1,561 peserta berentap berbanding 1,478 pada tahun lalu,’’ katanya pada Majlis Pelepasan Peserta Penang Mountain Bike Jamboree 2012 di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Lydia turut berikrar bahawa Kerajaan Negeri akan membantu dalam melaksanakan program tersebut seperti tahuntahun sebelum ini.

“Kerajaan Negeri akan membantu dalam aspek diperlukan bagi menjamin kelangsungan acara ini secara berterusan,’’ ujarnya sambil menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah menyumbang sebanyak RM2,000 dalam memantapkan penganjuran acara berkenaan.

malakoff-flagoff