Iltizam Huffaz lahirkan generasi huffaz profesional, 219 pelajar terima manfaat

img 3815

BERTAM – Program Iltizam Huffaz terus melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja menguasai al-Quran, malah cemerlang dalam akademik serta mempunyai peluang melanjutkan pengajian dan menceburi pelbagai bidang kerjaya.

Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, program anjuran Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) itu telah memberi manfaat kepada 219 pelajar tahfiz dari seluruh negeri sejak tahun 2022 hingga 2025.

Menurut beliau, program berkenaan turut mencatat pencapaian memberangsangkan apabila kadar kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi 2025 mencapai 98 peratus, iaitu pencapaian terbaik sejak program tersebut diperkenalkan.

“Bagi tahun 2025, seramai lapan orang pelajar memperoleh keputusan cemerlang 4A dan ke atas, manakala pada tahun 2024 pula seramai 12 pelajar berjaya memperoleh keputusan cemerlang.

“Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa pelajar tahfiz juga mampu bersaing dalam bidang akademik apabila diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang sewajarnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi Iltizam Huffaz Sesi 2025 di sini hari ini.

img 3821
MOHD. Sukki.

Mengulas lanjut, Mohd. Sukki turut memaklumkan bahawa matlamat utama program adalah untuk melahirkan Generasi Huffaz Profesional yang menguasai ilmu al-Quran, cemerlang dalam akademik serta memiliki sahsiah, kepimpinan dan jati diri yang unggul.

“Gabungan ilmu wahyu dan ilmu aqli inilah yang akan melahirkan generasi Muslim yang mampu memimpin masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” jelasnya.

Bagi tahun 2026, Mohd. Sukki menyatakan bahawa Program Iltizam Huffaz menerima peruntukan sebanyak RM177,200 daripada Zakat MAINPP bagi membiayai pengurusan akademik, elaun tenaga pengajar, bahan pembelajaran serta keperluan berkaitan program.

“Dana zakat yang disalurkan ini bukan sekadar satu bentuk bantuan kewangan, bahkan merupakan satu pelaburan jangka panjang dalam membangunkan modal insan Islam yang berilmu, berakhlak dan mampu menyumbang kepada kemajuan negeri Pulau Pinang,” tambahnya.

img 3822 img 3823
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIPP, Dr. Mohamad Sofee Razak berkata, seramai 93 daripada 169 lepasan Iltizam Huffaz berjaya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dan pusat pengajian Islam.

Antara institusi berkenaan termasuk Universiti Al-Azhar, Mesir; Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA); Universiti Islam Selangor (UIS); UniSHAMS; Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB); Institut Kemahiran Tinggi PERDA dan GiatMARA.

“Seramai 47 orang telah memasuki alam pekerjaan, termasuk sebagai imam masjid, guru agama, tenaga pengajar tahfiz, ustaz, penceramah bebas dan usahawan, selain bekerja dalam sektor perindustrian, perkilangan, logistik, hospitaliti dan perkhidmatan.

“Ini membuktikan bahawa graduan Program Iltizam Huffaz mampu menyesuaikan diri dengan keperluan semasa serta memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan agama, masyarakat dan ekonomi negara,” katanya.

Tambah Mohamad Sofee lagi, sebahagian lepasan program turut berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar menerusi tajaan biasiswa MAINPP melalui pembiayaan Dana Zakat MAINPP.

Malah, menurutnya, tahun 2024 mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya dua pelajar Program Iltizam Huffaz memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam SPM dan kini melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Laluan pendidikan berterusan turut disediakan kepada para peserta, termasuk peluang menyambung pengajian di KITAB sebagai salah satu rakan strategik YIPP dalam membangunkan modal insan Islam.

“Dengan kata lain, para pelajar Program Iltizam Huffaz sebenarnya telah mempunyai satu langkah awal ke arah melanjutkan pengajian di KITAB sebagai kesinambungan pembangunan ilmu dan kerjaya mereka,” katanya.

Difahamkan, seramai 50 graduan Iltizam Huffaz Sesi 2025 diraikan, selain penghargaan diberikan kepada 12 tenaga pengajar yang telah mendidik dan membimbing para pelajar sepanjang mengikuti program berkenaan.

Teks & Gambar: NUR ASHIKIN ISMAIL