Indonesia harap jalin kerjasama perkhidmatan perhotelan dengan Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Indonesia ke Pulau Pinang, Iwanshah Wibisono dekat pejabat beliau di Komtar sebentar tadi.

Pertemuan kira-kira 30 minit itu membincangkan hubungan dua hala antara Pulau Pinang dan Indonesia termasuk ekonomi, pelancongan serta kemasukan tenaga kerja.

Iwanshah berkata, hubungan antara kedua-dua pihak yang sudah sekian lama terjalin adalah semakin baik terutamanya daripada segi jumlah penerbangan terus dari Pulau Pinang ke beberapa bandar di Indonesia yang kini meningkat kepada tiga berbanding hanya satu sebelum ini.

“Malah, Indonesia juga amat mengagumi kemudahan perubatan pelancongan di Pulau Pinang yang sangat baik, makanan yang lazat dan harga ubat-ubatan serta tambang pengangkutan awam adalah lebih murah.

“Justeru, adalah diharapkan kerjasama yang sihat ini dapat ditingkatkan lagi pada masa-masa akan datang,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut membangkitkan isu-isu berkaitan tenaga kerja dari Indonesia yang ada di negeri ini sama ada di sektor perkilangan, perladangan dan perkhidmatan yang disifatkan berada dalam keadaan baik.

“Cuma ada beberapa masalah khususnya berkaitan permit yang perlu ditangani melalui kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Diharapkan pada masa akan datang Indonesia dan Pulau Pinang boleh menjalinkan kerjasama dalam menyediakan perkhidmatan perhotelan yang dilihat boleh menguntungkan kedua-dua pihak,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS