Kon Yeow terima kunjungan hormat CEO Bernama

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi ini menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nurini Kassim di pejabatnya dekat Komtar.

Ketua Pengarang Bernama, Datuk Mokhtar Hussain; Pegawai Khas kepada CEO, Susan Beh; Ketua Biro Pulau Pinang, Nur Adila Abdul Wahab; Pegawai Berita, Kenny Teng dan jurugambar, K. Ganesan turut sertai kunjungan hormat tersebut.

Dalam pertemuan selama kira-kira 30 minit itu, Kon Yeow saling berkongsi pendapat mengenai perkembangan semasa politik negeri, susulan pembubaran kabinet jemaah Menteri, semalam.

“Kita telah memulakan projek (Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, PTMP) sebelum perubahan politik ini berlaku, saya tidak fikir projek ini akan dihentikan begitu sahaja.

“Lagipun, PTMP telah melalui proses yang panjang termasuk memenuhi syarat-syarat yang digariskan oleh jabatan-jabatan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa bersedia untuk bekerjasama serta memenuhi syarat-syarat ditetapkan. Malah, kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) mengharapkan jalinan kerjasama yang sama kelak,” responsnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada 25 Februari 2020.

Dalam pada itu, Nurini menzahirkan penghargaan kepada Kon Yeow ekoran meluangkan masa menerima kunjungan hormat tersebut, sungguhpun dihambat pelbagai komitmen pentadbiran dan parti ketika ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN