Industri tenusu punyai potensi tinggi – Exco

Oleh : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

SEBERANG JAYA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyampaikan bantuan berupa kambing tenusu pejantan baka kepada 17 penternak di sini baru-baru ini.

Ketika berucap, beliau berharap bantuan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang (JPV) tersebut akan mengembangkan lagi perusahaan tenusu negeri.

“Industri tenusu mempunyai potensi tinggi kerana permintaan adalah sentiasa tidak mencukupi termasuk dalam memenuhi permintaan tempatan.

“Selain penghasilan susu segar, permintaan susu untuk memenuhi keperluan sektor Industri Asas Ternakan (IATn) bagi produk berasaskan susu turut mempunyai permintaan tinggi.

“Sekiranya penternak memelihara kambing-kambing tersebut secara baik, Kerajaan Negeri akan memberi milik secara terus,” ujarnya dalam Majlis Penyerahan Kambing Tenusu Pejantan Baka di sini baru-baru ini.

Menurut Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, kos pembelanjaan untuk pembelian baka tersebut adalah mencecah RM99,200.

“Kambing-kambing pejantan tenusu ini diimport khas dari Sydney, Australia.

“Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan penggunaan baka berkualiti supaya para penternak mendapat hasil ladang lebih tinggi serta menguntungkan,” ujarnya.

Difahamkan, daripada jumlah 20 ekor ternakan, 10 daripadanya adalah baka pejantan Saneen, British Alpine (6) dan Toggenburg (4).