Naik taraf trek joging Taman Tunku demi tingkat tahap kegembiraan komuniti setempat

SEBERANG JAYA – Projek menaik taraf semula trek joging sepanjang 626 meter (m) berhampiran Sungai Pertama ke kawasan rekreasi Taman Tunku di sini, yang siap sepenuhnya menelan belanja kira-kira RM60,500.

Ketika berucap, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, perbelanjaan pembangunan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang hari ini bukan sahaja mengambil kira aspek pembangunan fizikal, malah kegembiraan serta keselesaan hidup komuniti setempat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kerana melaksanakan projek itu berdasarkan aduan serta syor komuniti setempat.

“Saya perhatikan ramai orang kerap kali ke sini, walaupun pada waktu petang.

“Oleh itu, saya mencadangkan kepada Majlis (Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) untuk mencerahkan kawasan ini supaya lebih ramai orang boleh datang dan bersenam di sini,” katanya pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, sebelum ini trek joging itu sering kali menjadi laluan larian ke Taman Tunku, tetapi gelap serta dianggap tidak selamat oleh komuniti setempat.

Namun, tambahnya, Kerajaan Negeri melalui MPSP menerima aduan daripada komuniti berwajib, sebelum kerja-kerja menaik taraf kawasan rekreasi tersebut dimulakan pada 27 September lalu dan siap sepenuhnya pada 13 Oktober baru-baru ini.

Difahamkan kerja-kerja penarafan lain termasuk pemasangan 11 lampu jalan lengkap dengan 20 tiang penyokong konkrit serta kemudahan senaman lain.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya; ADUN Jawi, Soon Lip Chee dan Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut sertai majlis perasmian pembukaan projek penarafan trek joging berkenaan.