Inisiatif Bandar Mesra Usia bakal wujudkan persekitaran mesra bagi semua golongan

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melancarkan inisiatif Bandar Mesra Usia bagi mewujudkan sebuah persekitaran yang mesra bagi semua lapisan masyarakat terutamanya warga emas.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata pelan tindakan strategik dan komprehensif tersebut akan diformulasikan pada bulan Disember 2023 untuk diaplikasi dan dilaksanakan pada tahun 2024.

“Inisiatif ini adalah lima pendekatan holistik yang mengambil kira lapan domain utama, meliputi persekitaran sosial dan alam bina.

“Tujuan utamanya adalah untuk mengiktiraf bahagian sebelah pulau (Penang Island) Negeri Pulau Pinang sebagai Bandar Mesra Usia pada tahun 2025.

“Pulau Pinang iaitu bahagian pulau telah dipilih sebagai projek perintis dalam menjalankan kajian mendalam berdasarkan Kerangka Kerja Bandar Mesra Usia World Health Organisation (WHO),” katanya pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini tadi pagi.

Mengulas lanjut, Siew Khim berkata pelan untuk mengiktiraf Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebagai ‘Bandar Mesra Usia’ pula akan dimulakan pada tahun 2024.

“Saya ingin menegaskan bahawa Seberang Perai tidak dipinggirkan sama sekali kerana pelan untuk mengiktiraf MBSP sebagai ‘Bandar Mesra Usia’ akan dimulakan pada tahun 2024.

“Melalui pengalaman dan ilmu yang telah diperoleh dari pelaksanaan inisiatif ini bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Kerajaan Negeri dengan sokongan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) akan bekerjasama rapat dengan MBSP untuk tujuan ini.

“Pada masa hadapan, kita semua akan berasa bangga melihat Pulau Pinang bukan hanya sebuah negeri yang mesra usia, tetapi juga sebuah negeri yang memelihara kepentingan semua lapisan masyarakat, termasuk warga emas, orang muda, dewasa, Orang Kurang Upaya (OKU), wanita dan lelaki,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan, Siew Khim memaklumkan bahawa pada masa ini, terdapat enam Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang sedang beroperasi di negeri ini.

“Namun diakui bahawa terdapat keperluan untuk mendirikan sebuah PAWE di Daerah Timur Laut dan perkara ini akan direalisasikan dalam masa terdekat.

“Kerajaan Negeri bertekad untuk memperkasa PAWE bagi memastikan ia lebih mudah diakses, meriah dengan program-program yang berimpak dan menjadi sebuah tempat yang kondusif bagi warga emas,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD