PBAPP labur RM250 juta ganti saluran paip usang

Admin
KETUA Menteri

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melabur sebanyak RM250 juta pada tahun 2024 untuk menggantikan kira-kira 138 kilometer (km) saluran paip simen asbestos (AC) yang sudah usang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pendekatan berkaitan adalah sebahagian daripada usaha PBAPP untuk mengurangkan peratusan Non-Revenue Water (NRW) di negeri ini secara berperingkat.

“Punca utama NRW di Pulau Pinang iaitu saluran paip bocor dan pecah.

“Di bawah jalan raya Pulau Pinang, terdapat sepanjang 1,200 km paip air AC dengan jangka hayat melebihi 30 tahun dan perlu diganti yang mana unjuran kos adalah sebanyak RM2.2 billion dengan anggaran kos purata RM1.834 juta bagi setiap kilometer.

“PBAPP tidak mampu untuk melabur sebanyak RM2.2 bilion serta-merta demi menurunkan peratusan NRW Pulau Pinang, namun penggantian paip AC ini akan dijalankan secara berperingkat,” katanya pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.

Kon Yeow dalam pada itu menyatakan bahawa peratusan NRW Pulau Pinang ialah sebanyak 26.3 peratus pada 2022 dan kedudukan tersebut adalah lebih rendah berbanding negeri-negeri lain pada tahun 2020 seperti yang dinyatakan dalam Malaysian Water Industry Guide 2022.

“Peratusan NRW tertinggi yang dilaporkan oleh sesebuah negeri ialah sebanyak 64.9 peratus dan purata kebangsaan ialah sebanyak 36.4 peratus.

“Dimaklumkan bahawa pada tahun 2022, terdapat dua gangguan bekalan air utama di seluruh negeri yang menyebabkan peratusan NRW Pulau Pinang meningkat pada Julai dan Disember 2022.

“Gangguan bekalan air tidak berjadual ini adalah disebabkan oleh insiden air banjir lumpur dari Baling, Kedah dan gangguan bekalan air berjadual akibat kerja-kerja pembaikan penting di Loji Rawatan Air Sungai Dua,” katanya yang juga Exco Ekonomi, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri dan PBAPP sedang berusaha keras untuk mengurangkan risiko pengurusan air di negeri ini dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Oleh itu, dua daripada lapan projek Pelan Kontingensi Air PBAPP 2030 (WCP 2030) dijadualkan untuk pengoperasian pada awal 2024.

“Perancangan untuk enam projek WCP 2030 juga sedang dijalankan yang mana kita perlu memastikan bahawa semua projek WCP 2030 dilaksanakan mengikut konsep “Cekap, Akauntabiliti dan Telus”.

“Malah, PBAPP juga perlu mendapatkan pembiayaan yang mencukupi dan memastikan semua projek WCP 2030 dibina dan berfungsi cekap selama 50 tahun atau lebih, sama seperti Empangan Air Itam yang berusia 60 tahun,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD