Inisiatif Dron, program komponen ketujuh STEM – TKM II

BAGAN DALAM – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang melaksanakan program komponen terbaru iaitu Inisiatif Dron demi mengukuhkan penguasaan STEM atau sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam kalangan generasi muda.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy memberitahu bahawa sebelum ini, Kerajaan Negeri telah melaksanakan enam program iaitu Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), Kluster Sains Pulau Pinang, Penang Math Platform, Penang CAT (Career Assistance & Talent), Tech Dome Pulau Pinang (PTD) dan Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) demi mengukuhkan penguasaan inisiatif STEM.

“Satu lagi penambahan program baru-baru ini adalah Drone Initiative kerana kita (Kerajaan Negeri) memberi keutamaan kepada perkembangan STEM.

“Dengan menguasai teknologi dron ini, saya berharap kerja-kerja seperti pemetaan, bancian, tinjauan lapangan, pemeriksaan keselamatan dan sebagainya dapat dipermudahkan pada era Revolusi Perindustrian 4.0 sekarang ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai ketika merasmikan majlis yang berlangsung dekat Lodge 18 Hotel pada 26 Oktober 2018 di sini.

Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi turut menyempurnakan acara pemberian sijil tauliah kepada hampir 50 pelatih yang menyertai kursus itu.

Beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri berharap dapat menganjurkan Drone Initiative berkenaan dengan melibatkan pembiayaan sektor swasta, di bawah model perkongsian sektor awam dan swasta (PPP).

Berucap pada majlis sama, ADUN Bagan Dalam, M. Satees merakamkan penghargaan kepada Pejabat Ketua Menteri II kerana memilih Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) diwakilinya sebagai lokasi penganjuran kursus sulung itu.

Melalui kursus profesional seumpama berkaitan, tambahnya, ia akan menyedarkan orang awam mengenai fungsi sebenar dron, bukan hanya untuk merakam gambar kenang-kenangan secara santai sahaja.

“Saya begitu berharap lebih banyak lagi program latihan seumpama ini, terutama berkaitan industri dan teknologi serta Revolusi Perindustrian 4.0 dapat dilaksanakan di kawasan Butterworth, untuk meningkatkan kemahiran tenaga buruh,” ujar Satees.

Dua Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), P. David Marshel dan K. Jason Raj turut menyertai majlis perasmian serta penyampaian sijil tauliah penerbangan dron kepada para pelatih.

  1. Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
    Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS