‘Test and educating’ perlu disemak semula supaya tidak lahirkan generasi berpelajaran tetapi tidak berpendidikan – TKM I

GEORGE TOWN – Penerapan pendidikan berorientasikan ‘test and educating’ perlu disemak semula dalam melahirkan modal insan yang berpelajaran, berkualiti dan berdaya saing tinggi.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pembangunan modal insan tersebut sangat penting selaras dengan pembangunan negeri Pulau Pinang dalam menuju ke arah Malaysia baharu.

Pendidikan merupakan teras utama dalam pembangunan negara seperti yang kita semua sedia maklum… pendidikan bukanlah jumlah A dalam peperiksaan semata-mata, pendidikan berorientasikan ‘test and educating’ ini perlu disemak semula supaya kita tidak melahirkan generasi berpelajaran tetapi tidak berpendidikan.

Gejala berpelajaran tetapi tidak berpendidikan ini telah dikupas oleh ilmuwan, Harry R. Lewis dari Universiti Harvard yang menulis buku bertajuk Excellence Without A Soul. Menurut beliau, pendidikan hari ini telah kehilangan roh, dan semangat yang sebenar.

Malah, katanya, pendidikan yang ada pada hari ini telah lari dari matlamat asal, pendidikan telah dijadikan komoditi untuk diniagakan di pasaran… ini jelas terbukti apabila para ibu bapa pada hari ini berlumba-lumba memastikan anak-anak mereka mendapatkan sebanyak mungkin A,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negei (ADUN) Pinang Tunggal pada Majlis Konvokesyen Kali ke-10 KITAB di sini baru-baru ini.

Majlis disempurnakan Yang Di-Pertua Negeri (T.Y.T), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

DR. Abdul Rahman Abbas (tengah) menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan KITAB semalam.

Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah, Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, Pengerusi Lembaga Pengarah Usaha Tarbiah Sdn. Bhd., Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Rektor KITAB, Datuk Dr. Mustapa Kassim.

Menurut Zakiyuddin lagi, dalam Revolusi Industri 4.0 perhatian terhadap dimensi kerohanian yang lebih utuh bagi memudahkan proses pemahaman kemanusian serta peranannya dalam ilmu pengetahuan perlu diberikan.

Perlu diingat, kerohanian adalah salah satu dari enam aspirasi pelajar seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, dalam hal ini Kerajaan Negeri amat menyokong pelan program pendidikan Islam yang dijalankan di KITAB dalam membantu meningkatkan imej umat Islam dan memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0,” katanya sambil menegaskan kerjasama segitiga emas di antara Malaysia, Thailand dan Indonesia (IMT-GT) harus dipertingkatkan lagi bagi memantapkan institusi pendidikan seperti KITAB.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD