BUKIT TAMBUN – Sebanyak 500 keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan bakul makanan menerusi program yang dianjurkan oleh Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik, di sini pada 15 Mac lalu.
Difahamkan, daripada jumlah tersebut, sebanyak 220 set barangan keperluan ditaja oleh syarikat HYL Marketing Sdn. Bhd. bagi membantu meringankan beban penerima menjelang sambutan Aidilfitri.
Menurut Choon Aik, sumbangan kepada golongan memerlukan merupakan inisiatif yang dilaksanakan secara konsisten setiap kali menjelang musim perayaan.
“Inisiatif tahunan ini bertujuan menyampaikan kasih sayang dan keprihatinan kepada keluarga serta golongan rentan agar mereka dapat merasai sokongan masyarakat sepanjang bulan Ramadan dan ketika menyambut perayaan,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan tersebut.

Dalam pada itu, Choon Aik turut memaklumkan bahawa bekalan makanan asas seperti ayam, telur, ikan ternakan, hasil laut serta minyak masak ketika ini berada pada tahap mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat.
Beliau berkata, bekalan makanan yang stabil serta kekukuhan mata wang Ringgit Malaysia turut membantu memastikan harga barangan keperluan harian kekal terkawal.
Tambah beliau, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sedang memantau perkembangan situasi di Timur Tengah serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan negara.
“Pada peringkat negeri, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melaksanakan Program Jualan Rahmah secara berkala.
“Inisiatif ini membolehkan rakyat mendapatkan barangan harian pada harga lebih berpatutan dekeperluanngan diskaun sekitar 10 hingga 30 peratus,” katanya.

Beliau turut menyeru pihak korporat, pertubuhan masyarakat serta orang perseorangan agar terus menyertai usaha kebajikan bagi menyemarakkan budaya prihatin dan semangat saling membantu dalam komuniti.
Gambar : ADUN