GEORGE TOWN – Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara bakal menjadi pencetus perubahan (game changer) kepada sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang apabila perjalanan dari Penang Sentral ke Komtar dijangka hanya memakan masa lapan minit.
Pengarah Projek LRT Laluan Mutiara, Azmi Abd. Rahman berkata, sambungan rentas laut tersebut menawarkan tempoh perjalanan yang singkat dan konsisten buat para pengguna.
Menurut beliau, kerja-kerja awal di lapangan bagi jajaran Penang Sentral (PSR-A) ke Komtar sebenarnya telah bermula sejak bulan Julai tahun lepas lagi.
“Pada masa ini, kerja-kerja melibatkan pemindahan utiliti, penebangan pokok serta pelebaran jalan sedang giat dijalankan.
“Kerja pembinaan berat seperti penanaman cerucuk pula dijangka bermula pada suku kedua tahun ini (2026),” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambah Azmi, jambatan marin sepanjang 6.0 kilometer (km) akan dibina bagi menghubungkan stesen Penang Sentral dan Macallum, dengan ketinggian 62 meter (m) dari paras laut.
Reka bentuk tersebut, katanya, bagi memastikan operasi feri dan kapal di Pelabuhan Pulau Pinang tidak terganggu.
Difahamkan, jadual pengoperasi LRT Laluan Mutiara disasar bermula serentak pada Disember 2031 nanti, dengan menjadikan Penang Sentral sebagai hab utama dan pintu masuk yang menghubungkan LRT, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu (KTM), feri dan bas pengantara.
Perbadanan Transit Aliran Massa Sdn. Bhd. (MRT Corp.) selaku pemaju merangkap pemilik projek LRT Laluan Mutiata menyatakan komitmen untuk menyediakan 1,000 petak parkir bagi menggalakkan rakyat menggunakan mod pengangkutan awam moden darat tersebut.
MRT Corp. turut menyasarkan 37,000 penumpang harian ketika peringat awal LRT Laluan Mutuara mula beroperasi pada tahun 3031, dengan mengunjurkan jumlah penumpang meningkat sehingga 232,000 ormag menjelang tahun 2061.
Mengulas lanjut, Azmi memaklumkan bahawa Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi jajaran Macallum-Penang Sentral kini sedang dipamerkan untuk pemeriksaan awam sehingga 7 April 2026.
Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai boleh menyemak laporan tersebut di lapan lokasi terpilih, termasuk pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri di George Town dan pejabat APAD Wilayah Utara di Butterworth.
“Projek ini bukan sahaja meningkatkan mobiliti pekerja, malah memendekkan masa perjalanan ke destinasi utama.
“Contohnya, perjalanan ke Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas hanya mengambil masa 40 minit, manakala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) adalah sekitar 45 minit,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata kedudukan strategik stesen-stesen LRT ini juga membuka ruang untuk penyambungan laluan pada masa hadapan ke kawasan lain seperti Kepala Batas, Bukit Mertajam, Simpang Ampat, malah ke negeri jiran seperti Kedah dan Perak.
Untuk rekod, projek LRT Laluan Mutiara dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dengan siling peruntukan sebanyak RM16.8 bilion.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: BULETIN MUTIARA