Inisiatif kitar semula negeri pada taraf antarabangsa

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Pulau Pinang kini berada satu tapak ke hadapan dan pada taraf antarabangsa berhubung inisiatif program kitar semula yang mula diimplementasikan beberapa tahun lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, Pulau Pinang pada tahun 2011 mencatatkan 23.8 peratus inisiatif kitar semula berbanding anggaran perangkaan diberikan kerajaan persekutuan iaitu 22 peratus menjelang tahun 2020.

“Semua ini adalah hasil usaha masyarakat Pulau Pinang yang dilihat semakin meningkat kesedaran untuk mengitar semula.

“Saya berharap semua pengusaha, syarikat, pengeluar dan masyarakat setempat memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri demi kepentingan rakyat dan anak cucu kita di masa hadapan,” katanya pada penganjuran Forum Tertutup Bersama Syarikat dan Pengeluar Kitar Semula di sini baru-baru ini.

Penganjuran tersebut adalah hasil kerjasama Penang Green Council Strategies Sdn. Bhd. (PGC).

ANTARA pengusaha-pengusaha kitar semula yang hadir pada Forum Tertutup Bersama Syarikat dan Pengeluar Kitar Semula di sini baru-baru ini.
ANTARA pengusaha-pengusaha kitar semula yang hadir pada
Forum Tertutup Bersama Syarikat dan Pengeluar Kitar Semula di
sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar PGC, Thing Siew Shuen dan Pengarah Perkhidmatan Perbandaran, Kesihatan Awam dan Perlesenan Majlis Perbancaran Pulau Pinang (MPPP), Dr. R.R. Judy Shoba.

Bersempena penganjuran tersebut, antara isu yang dibincangkan bersama operator-operator kitar semula adalah penanda aras untuk menyemai mesej alam sekitar dan inisiatif hijau dalam kalangan syarikat-syarikat serta pengeluar-pengeluar kitar semula di negeri ini.

Menurut Boon Poh, pertemuan serta forum tersebut adalah bagi mendapatkan pandangan, bertukar fikiran dan idea untuk menguruskan bahanbahan kitar semula dengan lebih cekap serta efisien.

“Objektif utama kita (Kerajaan Negeri) adalah mengenalpasti cara untuk mengurangkan kuantiti sisa pelupusan yang semakin meningkat saban hari di tapak pelupusan sedia ada di Pulau Burong di sini.

“Kita (Kerajaan Negeri) mahukan bahan-bahan yang telah dikitar semula diolah dan dijadikan sebagai salah satu sumber boleh diperbaharui pada masa akan datang.

“Sedikit sebanyak dengan usaha kitar semula ini bakal meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, syarikat-syarikat dan
pengeluar-pengeluar di Pulau Pinang,” ujarnya.