MPSP kutip RM11.1 juta tahun 2012

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB


BUKIT MERTAJAM – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berjaya mengutip pendapatan tahunan sebanyak RM11.1 juta sepanjang tahun lepas.

Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, atas pencapaian itu, pihaknya berbesar hati untuk menyampaikan 15,400 buku kupon parkir secara percuma sebagai menghargai partisipasi warga Seberang Perai.

“Sukacita di sini saya memaklumkan bahawa kutipan yang telah diperoleh sehingga 17 Disember 2012 adalah sebanyak RM11,115,963.27.

“Cenderahati berbentuk kupon letak kereta percuma telah diberi (sebanyak 15,400 buku) kepada pembayar cukai dan baki yang masih ada adalah sebanyak 9,600 buku,” ujar beliau dalam Mesyuarat Penuh MPSP di Ibu Pejabat Kompleks MPSP di sini baru-baru ini.

Malah, katanya lagi, MPSP turut berbangga kerana kajian kepuasan pelanggan menunjukkan 85.34 peratus berpuas hati dengan mutu perkhidmatan pihak majlis.

Jelas Maimunah, itu, tidak termasuk 92.95 peratus pelan pelaksanaan 7 Fokus MPSP dari bulan Januari hingga November tahun lepas berjaya dicapai.

“Fokus yang dimaksudkan meliputi Pembersihan dan Kehijauan (94.45 peratus), Mewujudkan Eko-Komuniti (97.07 peratus), Perancangan dan Pembangunan (102.33 peratus), Penguatkuasaan (72.77 peratus), Peningkatan Hasil dan Penjimatan Kos (84.06 peratus), Penyertaan Komuniti dalam Pengurusan Fiskal (100 peratus) serta Pembinaan Kapasiti Modal Insan (100 peratus),’’ ujar beliau.

MAIMUNAH Mohd. Sharif (bertudung kuning) bergambar dengan para Ahli Majlis MPSP bagi sesi 2012 sejurus selepas selesai Mesyuarat Penuh Majlis terakhir di sini baru-baru ini.
MAIMUNAH Mohd. Sharif (bertudung kuning) bergambar dengan para Ahli Majlis MPSP bagi
sesi 2012 sejurus selepas selesai Mesyuarat Penuh Majlis terakhir di sini baru-baru ini.