Inisiatif PDC wujudkan Square@Cassia tingkat kehijauan bandar, daya huni penduduk lokal

Admin
KETUA Menteri (tengah) seusai acara penanaman pokok Cassia Siamea atau Johar di tapak projek penarafan Square@Cassia di sini menjelang tengah hari tadi.

BUKIT TAMBUN – Inisiatif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) membelanjakan RM1,786,608 bagi mewujudkan landskap sekitar Square@Galeri bukan sahaja meningkatkan imej serta kehijauan Bandar Cassia Batu Kawan, malah juga meningkatkan daya huni penduduk lokal di sini.

Bercakap kepada pemberita, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa acara penanaman enam batang pokok Cassia Siamea atau Johar di tanah lapang bersebelahan Galeri Jualan PDC di sini adalah signifikan untuk orang ramai mengetahui asal usul penamaan kawasan berkaitan sebagai Bandar Cassia Batu Kawan.

“PDC telah membuat keputusan dengan menggunakan nama pokok asal jenis Cassia Siamea yang dijumpai di sini sebagai nama bagi pembangunan Batu Kawan ini dan bunga (Cassia Siamea) itu juga sebagai logo (korporat Bandar Cassia sejak tahun 2019).

“Ini merupakan suatu usaha untuk menaikkan imej Batu Kawan sebagai suatu bandar terancang (yang bertemakan) ‘Smart Eco-City’ serta mempunyai beberapa komponen pembangunan termasuk taman perumahan penduduk, kawasan komersial dan industri (Taman Perindustrian Batu Kawan, BKIP),” jelasnya sejurus menyempurnakan acara penanaman pokok Cassia Siamea dekat Square@Cassia di sini pada 13 November 2021.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik yang juga ‘ADUN Angkat’ Sungai Acheh; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar; Timbalan CEO Kanan PDC, Dato’ Jamil Ibrahim; Timbalan CEO, Aziz Bakar dan Ahli Majis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Anuar Yusoff.

Difahamkan, kerja-kerja berkaitan landskap di Square@Cassia mula dilaksanakan pada 3 Ogos lepas yang mana Seksyen 1 projek tersebut siap pada 2 November lepas, sementara Seksyen 2 (dijangka siap 2 April tahun depan).

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa landskap di Square@Cassia ini melibatkan 51 batang pokok teduhan serta 5,870 pokok renek seperti Cassia Siamea (Johar), Samanea Saman (Hujan-hujan), Dalbergia Oliveri (Tamalan) dan Fragrea Fragrans (Tembusu).

Tambah beliau, inisiatif PDC mewujudkan Square@Cassia sekali gus mendokong Visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS