Program dos penggalak untuk Pulau Pinang perlu perancangan jelas Putrajaya, nasihat Ketua Menteri

Admin
SIDANG media Ketua Menteri seusai menyempurnakan acara penanaman pokok jenis Cassia Siamea di Square@Cassia menjelang tengah hari tadi.

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Persekutuan terutama Menteri Kesihatan dinasihatkan untuk mengemas kini proses pelaksanaan dos penggalak di negeri ini dari semasa ke semasa serta secara perancangan yang jelas demi mengurangkan tekanan terhadap Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sepatutnya Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah beroperasi pada kapasiti penuh sebelum ini tidak diarahkan tutup memandangkan Putrajaya berhasrat untuk melaksanakan proses pemberian dos penggalak.

“Kita berharap Menteri Kesihatan dan Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa membuat pengumuman berhubung dengan program dos penggalak ini.

“(Ini kerana,) kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) memerlukan perancangan rapi serta arahan yang jelas… sebabnya kita (Pulau Pinang) baru menutup operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada, tiba-tiba (pada peringkat Putrajaya) kata mahu mempercepatkan proses pemberian dos penggalak pula.

“Jadi, (pengumuman) sebegini akan memberi tekanan kepada JKNPP,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi seusai menyempurnakan acara penanaman pokok jenis Cassia Siamea (Johar) dekat Square@Cassia bersebelahan dengan Galeri Jualan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini pada 13 November 2021.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik yang juga ‘ADUN Angkat’ Sungai Acheh; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar; Timbalan CEO Kanan PDC, Dato’ Jamil Ibrahim; Timbalan CEO, Aziz Bakar dan Ahli Majis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Anuar Yusoff.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow memberitahu bahawa cecara keseluruhan Pulau Pinang masih mencatatkan penurunan kes COVID-19 dan kes kematian yang sangat ketara berbanding catatan tertinggi yang dilaporkan pada September lalu; sungguhpun varian Delta yang ada dikesan di negeri ini.

Semalam, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota dilaporkan berkata kira-kira 40 peratus penerima janji temu dos penggalak melalui aplikasi MySejahtera tidak hadir untuk menerima suntikan dos itu di negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS