Inisiatif ‘Satu Bayi, Satu Pokok’ MPSP, ke arah bandar berdaya tahan & berdaya huni

Admin

SEBERANG JAYA – Sebanyak 208 batang pokok berjaya ditanam oleh kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bersempena program ‘Taman Komuniti’ melalui konsep ‘Satu Bayi, Satu Pokok’.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud ketika ditemui berkata, pokok-pokok daripada spesis ‘manilkara zapota’ (ciku) dan ‘syzygium aqueum’ (jambu air) ditanam di sepanjang 1,100 meter dekat Parit Monson Jalan Perda Barat di sini.

“Program ini secara tidak langsung memberi impak positif terhadap peningkatan kualiti alam sekitar demi mencapai kualiti hidup yang lebih baik serta menggalakkan lagi aktiviti riadah selain mampu mengeratkan hubungan antara kakitangan MPSP dan juga orang ramai,” katanya yang berhasrat mahu kawasan berkenaan dikenali sebagai ‘Taman Komuniti Bandar Perda’.

Menurut Rozali, pokok-pokok ini ditaja oleh kesemua 24 Ahli Majlis MPSP dengan kos keseluruhan sebanyak RM4,800 yang mana masing-masing menaja 10 batang pokok berharga RM20 setiap satu.

“Manakala peserta yang terlibat pula adalah kakitangan MPSP seramai 208 orang yang mempunyai cahaya mata dilahirkan pada tahun 2017 sehingga Mac 2018,” katanya ketika merasmikan taman berkenaan, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MPSP, David Marshel; Heng Yeh Shuan; Ketua-Ketua Jabatan, para pegawai serta komuniti setempat.

Dalam pada itu, Rozali dalam ucapannya turut menzahirkan rasa kecewa terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah yang bertindak merosakkan kemudahan awam di taman-taman rekreasi milik MPSP.

“Perlakuan vandalisme merupakan satu kesalahan jenayah yang mana jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

“Oleh itu, penduduk setempat dan pengunjung dinasihati untuk sama-sama menjaga dan tidak merosakkan peralatan disediakan serta pokok-pokok yang ditanam supaya semua pihak dapat menikmati kemudahan-kemudahan ini,” tegasnya lagi.

Difahamkan, program ‘Taman Komuniti’ melalui konsep ‘Satu Bayi, Satu Pokok’ ini merupakan salah satu pengisian dalam Pelan Strategi Seberang Perai 2018-2022 untuk mewujudkan bandar yang berdaya tahan dan berdaya huni.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD