Pameran Industri Automotif Pulau Pinang 2018 manifestasi kejayaan masyarakat setempat majukan bidang permotoran – TKMI

PINANG TUNGGAL – Penganjuran Pameran Industri Automotif Pulau Pinang 2018 yang berlangsung pada 6 dan 7 Oktober baru-baru ini mencerminkan manifestasi kejayaan masyarakat setempat dalam memajukan bidang permotoran di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Dianjurkan secara bersama-sama Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 dan Sahabat Permotoran Pulau Pinang, Kelab Sukan Permotoran Pulau Pinang serta GM Event Management.

“Inisiatif penganjuran program berkaitan wajar dipuji kerana dilihat telah menarik kehadiran pengunjung yang bukan sahaja terdiri daripada golongan remaja malah segenap lapisan masyarakat yang mempunyai minat dalam bidang permotoran.

“Ia (pameran) sekaligus membolehkan masyarakat terutamanya golongan belia mengisi masa lapang mereka dengan melakukan aktiviti lebih berfaedah.

“Oleh itu, saya berharap agar aktiviti seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa,” ujarnya yang merupakan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat pada ekspo berkaitan dekat Midtown Perda.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin turut menzahirkan harapan agar penganjuran program berkenaan dapat dijadikan sebagai acara tahunan di bawah portfolio Pembangunan Industri kerana ia selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk merealisasikan agenda Penang 2030.

“Diharapkan penganjuran akan datang melibatkan lebih banyak agensi kerajaan seperti polis, JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), PUSPAKOM, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain lagi,” serunya.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF