Insentif tambahan hargai atlet & jurulatih sukan negeri

Ol e h : A HMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Kejayaan Kontinjen Pulau Pinang merangkul pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 tidak berlalu begitu sahaja apabila Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menterinya, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyampaikan insentif tambahan sebanyak 50 peratus kepada para atlet, jurulatih dan persatuan sukan di sini baru-baru ini.

Guan Eng berkata, keputusan untuk memberi insentif tambahan tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kepada para atlet kerana telah berjaya beraksi dengan cemerlang sekaligus memberikan keyakinan bahawa Pulau Pinang mampu melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa.

“Insentif ini adalah tanda sokongan Kerajaan Negeri kepada atlet dan membuktikan bahawa kita menghargai kemajuan  sukan dan kecemerlangan yang ditunjukkan.

“Saya harap dengan pemberian insentif ini akan mendorong para atlet untuk kekalkan kecemerlangan dan memberikan motivasi kepada atlet muda untuk berjaya,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyampaian Insentif Tambahan di sini baru-baru ini.

Hadir bersama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan), Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan), Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) dan Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee, Timbalan Pengerusi II Majlis Sukan Negeri (MSN), Datuk Ong Poh Eng dan Setiausaha Agung Federasi Angkat Berat Oceania, Paul Coffa.

Dalam kejohanan SUKMA Ke-16 di Kuala Lumpur pada 28 Jun hingga 7 Julai lalu, kontinjen negeri berjaya membawa pulang lapan pingat Emas, Perak (19) dan Gangsa (21) melalui sukan Judo, Silambam, Lawan Pedang, Gimnastik Artistik, Renang Berirama, Ping Pong, Sofbol, Futsal, Ekuestrian, Kriket, Woodball dan Muay Thai.

Tambah Guan Eng, pemberian insentif tersebut akan diteruskan pada tahun-tahun berikutnya sebagai menghargai jasa para atlet dalam mengharumkan nama Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Chong Eng menyeru para atlet supaya mengekalkan prestasi dan berusaha lebih gigih untuk SUKMA Perlis 2014 pada tahun depan.

Coffa yang turut meluahkan rasa kagum dengan inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri tersebut.

“Walaupun sudah lama menjadi jurulatih di pelbagai negeri, ini merupakan kali pertama saya menyaksikan atlet muda mendapat perhatian daripada kerajaan,” ujar beliau.

Pada Julai lepas, MSN telah menyampaikan insentif berjumlah RM123,400 kepada kontinjen Pulau Pinang, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan insentif yang diterima sebanyak RM185,100.