Lukisan mural ceriakan taman asuhan

Oleh: YAP LEE YING

GEORGE TOWN – Selain ceriakan susasana dinding, program melukis mural di Taman Asuhan Kanak-kanak Perkim turut mengukir seribu senyuman dalam kalangan para pelajar yang turut serta di sini baru-baru ini.

Guru Besar taman asuhan tersebut, Rokiah Hamzah menyatakan bahawa beliau amat berterima kasih kepada pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ekoran maklum balas pantas yang diberikan berhubung pengimplementasikan projek berkenaan.

“Dalam tempoh kurang dua minggu, MPPP datang dalam satu pasukan lengkap berserta kelengkapan diperlukan bagi menjayakan projek lukisan mural di sini.

“Inisiatif ini adalah untuk ‘menghidupkan’ suasana di sini. Dengan lukisan mural, dinding yang kosong berjaya ‘dihidupkan’. Pada masa sama, kanak-kanak turut bergembira,’’ katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini baru-baru ini.

Projek tersebut merupakan hasil usahasama MPPP dengan sebuah kolej swasta tempatan, Kolej Han Chiang dengan objektif untuk memberi dan berbakti semula kepada masyarakat.

Turut hadir, Pengarah Projek Lukisan Mural MPPP, Rozaini Mohamed Esa yang juga Pegawai Kebudayaan MPPP dari Jabatan Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa, wakil Kolej Han Chiang, Saw Jong Khai dan sukarelawan Taman Asuhan Kanak-kanak Perkim, Pat Henchie.