Insiden Bukit Kukus bukan berpunca daripada masalah struktur tanah – Jagdeep

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menegaskan bahawa insiden tanah runtuh di tapak pembinaan lebuh raya berkembar Paya Terubong adalah bukan berpunca daripada masalah struktur tanah.

Jelasnya, kerja penyiasatan tanah bagi projek berkenaan telah dijalankan secara terperinci oleh Jurutera Perunding GEA (M) Sdn. Bhd. yang dilantik oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Walaupun kajian EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) tidak dibuat untuk projek ini kerana mendapat pengecualian daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), namun Pelan Pengurusan Alam Sekitar serta Pelan Kawalan Hakisan dan Mendapan telah disediakan bagi memastikan projek ini dilaksanakan dengan baik.

“Malah, reka bentuk pembinaan projek jalan berkembar ini dibuat berdasarkan hasil kajian tanah dan ujian-ujian tanah yang telah dijalankan maka dengan itu, tidak timbul isu masalah struktur tanah (peroi) seperti yang dinyatakan.

“Untuk makluman, bahagian tanah yang runtuh adalah melibatkan cerun ditambun secara sementara sebagai laluan kenderaan dan pelantar kerja,” kata beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd. Noor pada sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini sebentar tadi.

Terdahulu, Muhamad Yusoff membangkitkan persoalan sama ada Kerajaan Negeri membuat kajian struktur tanah dan EIA bagi pembinaan jalan Bukit Kukus.

Menjawab soalan tambahan, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri memutuskan bahawa projek berkenaan akan diteruskan dengan syarat langkah-langkah ketat diambil bagi memastikan keselamatan di tapak projek.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan memantau kawasan bukit sepanjang tempoh pembinaan untuk pastikan ia dikawal dari sudut pembinaan, tapi projek ini perlu diteruskan demi manfaat orang awam.

“Kerajaan Negeri memutuskan bahawa dengan mandat besar yang diberikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu membenarkan kita teruskan projek-projek awam ini, tetapi saya setuju dengan Sungai Dua (Muhamad Yusoff) bahawa dari segi ciri-ciri keselamatan langkah adalah perlu diambil,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG