Jadikan bangunan lama MPSP sebagai Pusat Belia Butterworth, cadang ADUN

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri disarankan untuk menukar status bangunan lama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Jalan Bangan Luar yang terbengkalai sejak sekian lama kepada Pusat Belia Butterworth (Butterworth Youth Center).

Cadangan tersebut dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees semasa sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini 12 November 2018.

Menurut beliau, kertas cadangan berhubung perkara itu telah disiapkan, dan kini pihaknya hanya menunggu dana khususnya daripada kerajaan Persekutuan

“Jawi dapat Arena Nibong Tebal dengan sembilan gelanggang badminton, jadi saya minta perhatian juga harus diberikan kepada kawasan Bagan Dalam.

“Justeru, saya juga sedang merayu kepada Kementerian Belia dan Sukan serta Air Putih (Lim Guan Eng) untuk mendapatkan dana daripada kerajaan Persekutuan, bagi pembangunan kawasan tersebut.

“Pada masa sama, saya juga meminta kepada Kerajaan Negeri agar mempertimbangkan untuk membiayai separuh daripada kos tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Satees turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mengiktiraf Jalan Bagan Luar sebagai Butterworth Art District memandangkan kawasan tersebut semakin popular dalam kalangan peminat seni.

“Saya juga menyeru supaya satu mekanisme atau dasar digubal bagi memperkasakan seniman jalanan dan ‘melesenkan’ mereka dengan kadar yang tidak terlalu mahal supaya pihak-pihak berkaitan dapat berkarya dengan bebas tanpa melanggar undang-undang,” sarannya.

Terdahulu, dalam pembentangan Belanjawan Negeri Pulau Pinang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyebut bahawa Kerajaan Negeri akan menyediakan tanah seluas 9.2 ekar untuk dijadikan sebagai Penang Art District di bahagian pulau Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG